Pengiktirafan UEC Dikecam, Langkah Songsang Yang Tergesa-gesa


KUALA LUMPUR, 1 April – Pengerusi Pertubuhan Almuni Kelab-kelab UMNO Luar Negara Malaysia, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan mengecam pengiktirafan Peguam Negara, Tommy Thomas selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia ekoran tindakan memberikan kelonggaran pelajar-pelajar lulusan Unified Examination Certificate (UEC), menduduki Sijil Amalan Guaman Malaysia.

Katanya, pengiktirafan tergesa-gesa ini sebagai langkah songsang yang membelakangkan kajian Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) yang dijadual akan menyerahkan laporan akhir kepada Kementerian Pendidikan pada Julai 2019.

“Tindakan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia ini, seolah-olah dilihat sebagai mendahului Kementerian Pendidikan. Atau adakah ini merupakan satu bentuk tekanan kepada pihak Kementerian untuk mengiktiraf UEC?” soal beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, perlu diingatkan bahawa, antara strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara adalah termasuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah serta mewujudkan sistem peperiksaan yang sama untuk semua.

“Bermula daripada Penyata Razak 1956 yang mencapai titik kesepakatan agenda pendidikan negara yang mengimbangi Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1957 akhirnya dirangka bagi menentukan halatuju dasar pendidikan nasional.

“Penambahbaikan bersandarkan Penyata Rahman Talib 1960 seterusnya mengukuhkan lagi agenda perpaduan kebangsaan yang kemudiannya diadaptasi ke dalam Akta Pelajaran 1961.

“Reformasi pendidikan berterusan dengan kejayaan penghijrahan Sekolah Rendah Inggeris kepada Sekolah Rendah Kebangsaan pada tahun 1975.”

Kemudian katanya, pada tahun 1982 Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi semua peringkat persekolahan, diikuti tahun 1983 untuk semua kursus di universiti.

“Saban masa, penambahbaikan terus diperkenalkan sejajar garis panduan yang ditetapkan Dasar Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Oleh yang demikian, isu pengiktirafan UEC juga perlu bersandarkan Dasar Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi memelihara dasar kebangsaan, semangat nasionalisme serta perpaduan antara masyarakat Malaysia.

“Berbeza dengan kurikulum sekolah-sekolah kerajaan yang berteraskan sistem pendidikan kebangsaan, UEC diselia oleh Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Jiao Zong). Sekiranya pengiktirafan dibuat, kerajaan perlu terlibat secara langsung dalam pengolahan sukatan matapelajaran dan pemantauan keberkesanan sistem pendidikan secara menyeluruh.”

Seperti contoh, beliau menjelaskan sukatan mata pelajaran Sejarah yang tidak sealiran dengan sukatan mata pelajaran Sejarah di peringkat kebangsaan, akan menyebabkan jurang pengetahuan yang ketara antara masyarakat.

“Bukan itu sahaja, pola pecahan pelajar yang tidak seimbang juga perlu diperbaiki agar agenda perpaduan kebangsaan berasaskan pendidikan menerusi asimilasi antara kaum dapat diteruskan bagi mengelakkan gambaran UEC sebagai bersifat mono-etnik,” katanya lagi. – MediaUMNO