Pengundi Muda Akan Berikan Sokongan Untuk Tok Mat – Thinalan


REMBAU, 31 Mac – Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopallu melahirkan keyakinan bahawa pengundi terutama masyarakat India daripada golongan muda akan memberikan sesuatu yang cukup berharga untuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April depan.

Bagi beliau yang turut berasal dari Negeri Sembilan, Tok Mat adalah pemimpin untuk semua kaum dan melihat apa yang ada di Rantau khususnya memperlihatkan kepimpinan Tok Mat itu sendiri yang melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

“Kita akan bekerjasama dengan semua parti dari kalangan komponen BN, rakan yang mesra BN serta kawan baru kita PAS. Apabila kita bergerak bersama ianya akan melahirkan kejayaan untuk Tok Mat nanti. Dari pagi sampai ke petang kita bergerak bersama, rumah ke rumah dan sebagainya lagi untuk menjelaskan kepada mereka kenapa perlu undi untuk Tok Mat.

“Sesetengahnya mereka berpandangan tidak perlu ‘explain’… tidak perlu nak terangkan apa kebaikan yang Tok Mat dah bawa dan berikan untuk mereka selama ini di DUN Rantau sebab mereka dah tahu. Dari 2004 sehingga 2018 Tok Mat adalah Menteri Besar Negeri Sembilan dan juga ADUN untuk kawasan Rantau,” katanya.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama penduduk setempat  mengadakan perlawanan persahabatan antara Team Pemuda BN dengan Team Tok Mat di Ladang Sagga.

Katanya lagi banyak bukti yang dapat dilihat sepanjang Tok Mat memimpin kerajaan negeri dan juga sepanjang perkhidmatannya di DUN Rantau.

“Kita boleh tengok ada banyak kemudahan asas, sekolah tamil, sekolah kebangsaan, kuil hindu, masjid, tokong, gereja, dan sebagainya lagi semua ada. Dari segi itu Tok Mat telah menolong semua kaum dan merupakan seorang pemimpin yang cukup baik untuk seluruh masyarakat. Tok Mat ada ‘style’ tersendiri,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.