Pemuda UMNO Kesal Taktik Kotor PAN Letak Calon Bebas


KUALA LUMPUR, 31 Mac – Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Agyl Wan Hassan kesal dengan permainan politik kotor Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Jelas beliau, adalah sesuatu yang mencurigakan apabila seorang calon bebas mengaku dia adalah ahli PAS walhal dalam masa sama dia sebenarnya merupakan ahli Parti Amanah Negara (PAN) yang mana ianya merupakan komponen PH.

“Tindakan ini adalah suatu tindakan yang mempunyai motif jahat untuk memecah-belahkan kerjasama yang terjalin antara PAS dan UMNO.

“Apa yang lebih mendukacitakan ialah calon tersebut menafikan fakta yang dia merupakan ahli PAN walhal terdapat banyak bukti yang tersebar di media sosial yang menunjukkan dia adalah ahli itu. Ini jelas menunjukkan bahawa penipuan sudah menjadi begitu sinonim dengan PH.

“Kejadian ini juga membuktikan yang terdapat pergelutan kuasa dan konflik di dalam PH atau sememangnya ia adalah taktik PH untuk menipu bagi mengelirukan pengundi,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Wan Agyl, apa yang lebih dikesalkan adalah tindakan yang dilakukan oleh calon bebas dari PAN ini jelas mempersendakan pengundi Rantau.

“Janganlah dek kerana kerakusan perebutan kuasa dalaman PH, mereka menjadikan pengundi Rantau sebagai mangsa.

“Maka sudah sampai masanya pengundi Rantau menunjukkan kuasa rakyat kepada PH dengan memberi amaran bahawa sebagai pemegang amanah rakyat, apa yang utama adalah kepentingan rakyat dan bukan mementingkan siapa yang patut memegang kuasa,” bidas beliau.

Justeru, Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar PAN memecat keanggotaan calon bebas tersebut selepas taktik jahat mereka terbongkar sebagai strategi ‘damage control’.

“Pemuda juga mengucapkan tahniah kepada netizen kerana membongkar siapa sebenarnya calon bebas ini.

“Ternyata rakyat sudah bosan dengan mainan politik kotor PH dan rakyat telah menunjukkan keupayaan mereka membongkar sesuatu kejahatan,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.