PRK Rantau: Pertembungan Empat Penjuru

 

REMBAU, 30 Mac – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon daripada Bebas.

BN mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan, begitu juga PH yang turut menampilkan calon sama sebelum ini, S. Streram dan calon Bebas pula R. Malar dan Mohd Nor Yasin.

Pegawai Pengurus PRK Dun Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus mengumumkannya sejurus selesai menyemak segala permohonan yang dihantar oleh calon-calon yang bertanding.

Terdahulu sebelum itu, proses penamaan ditutup pada pukul 10 pagi.

Pusat penamaan berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan dan dibuka pada pukul 9.00 pagi tadi.

Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan itu juga akan dijadikan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi PRK DUN Rantau ini seramai 20,922 orang pengundi berdaftar layak mengundi meliputi 118 orang pengundi awal dan 20,804 pengundi biasa.

Terdapat sebanyak 16 buah pusat mengundi merangkumi 55 saluran dengan 11 daripadanya saluran baharu yang ditambah untuk kemudahan mengundi pada kali ini.
Hari mengundi awal pada 9 April manakala hari pengundian biasa pada 13 April ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S. Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.