‘Personal Touch’ Temui Seramai Mungkin Pengundi, Fokus Tok Mat Di Rantau


REMBAU, 30 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN akan berkempen dengan sebaik mungkin menemui pengundi-pengundi.

Menurut Timbalan Pengerusi BN itu lagi, beliau akan menemui seramai mungkin pengundi tanpa mengira latar belakang kaum.

“Saya akan menemui seramai mungkin pengundi di DUN Rantau untuk meyakinkan mereka betapa mereka perlu memilih BN untuk menyemak imbang di dalam Dewan Undangan Negeri, Insya-Allah.

“Strategi saya simpan dalam poketlah… tak boleh sebut ya, tapi salah satu yang katakan tadi saya perlu berjumpa seramai mungkin kerana di Rantau ini saya punya ‘personal touch’ atau ‘personal engagement’ amat penting kerana mereka dah lama kenal saya, dan saya bukannya orang luar, saya lahir di sini, bersekolah di sini, dan saya juga telah menjadi sebagai ADUN Rantau selama tiga penggal.

“Jadi ‘personal touch’ saya ini penting kerana rata-rata penduduk di Rantau ini telah lama bersama sejak saya kecil dan juga sejak saya jadi ADUN dalam kawasan Rantau,” ujarnya di dalam sidang media sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti dengan tegas menyatakan beliau tidak memberikan fokus kelompok kaum-kaum tertentu dalam kempen pilihan rayanya.

“Saya tidak ada fokus kata ada undi Melayu dan bukan Melayu, saya akan berjumpa dengan semua orang… saya akan berjalan, semalam saya berjalan dari rumah ke rumah, dari taman ke taman, dari kampung ke kampung.

“Saya tidak ada memfokuskan bahawa saya katakan saya tak perlu jumpa kaum ini dan kaum ini. Saya tidak pernah membezakan pengundi-pengundi saya, yang penting saya perlu berjumpa selama tiga belas hari ini seramai mungkin pengundi yang saya boleh jumpa,” katanya lagi yang bersyukur proses penamaan berjalan dengan lancar.

Mengenai isu-isu semasa di kawasan Rantau, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata,

“Isu-isu semasa di Rantau tiada apa-apa kerana kemudahan-kemudahan awam dan asas semua ada, walaupun ada orang kata Rantau tidak ada balai bomba… jadi itu terpulanglah kepada beliau….

“Kalau kita tengok di sini di Bandar Baharu Sendayan ini, ada yang mengatakan saya tidak membuat apa-apa selama empat belas tahun saya menjadi menteri besar ataupun menjadi ADUN Rantau.

“Ini (SJKC Bandar Sri Sendayan) dalam DUN Rantau… tengok betapa cantiknya sekolah, sekolah tamil, sekolah kebangsaan, ada kemudahan-kemudahan asas, ada pengkalan udara, macam-macam kita buat… jadi kemudahan asas memang dah ada dan yang penting sekarang untuk strategi saya katakan tadi salah satunya adalah untuk berjumpa seramai mungkin pengundi untuk mereka memberi sokongan kepada saya,” jelasnya lagi.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan turut menyeru semua pihak yang bertanding agar berkempen secara sihat di dalam menegakkan amalan demokrasi supaya tidak ada isu-isu yang boleh menyebabkan keharmonian masyarakat terutama di Rantau ini yang berbilang kaum diganggu-gugat.

“Siapa sahaja boleh berkempen dan saya harap tiada kempen-kempen yang boleh memudaratkan kita serta melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Mohamad juga tampil tanpa manifesto kerana yang lebih penting baginya adalah hasrat rakyat yang mahu perlunya satu pasukan pembangkang di Dewan Undangan Negeri yang tahu selok-belok pentadbiran negeri sebagai ‘semak dan seimbang’ supaya kerajaan tidak boleh membuat sesuatu dasar dengan sesuka hati. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.