Momentum PRK Cameron Highlands Dan Semenyih Beri Kelebihan Kepada BN Di Rantau

 

REMBAU, 30 Mac – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya momentum yang dibawa sejak daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan seterusnya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih baru-baru ini akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Rantau.

Menurut beliau ketidakpuasan hati rakyat jelas pada kedua-dua PRK sebelum ini yang mana mereka telah menunjukkan rasa kecewa terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang masih gagal  menunaikan janji dengan mengundi BN.

“Momentum dibawa daripada Cameron Highlands kemudian bersambung pula ke Semenyih baru-baru ini dan saya percaya akan terus ke Rantau dengan isunya yang tidak pernah selesai… isu sama yang dibangkitkan iaitu rakyat menolak PH melalui undi.

“Isyarat telah diberikan di Cameron Highlands dan isu rakyat tidak selesai. Sebab itu ditunjukkan di Semenyih dan saya percaya isu rakyat masih tidak selesai hingga ke hari ini. Janji kosong dan kebajikan rakyat tidak terjaga dan sebagainya.

“Saya yakin di Rantau ini pun rakyat akan tetap memberikan isyarat jelas kepada kerajaan tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap PH. Kalau di Cameron Highlands dianggap sebagai kawasan luar bandar, Semenyih ada bandar, pinggir bandar, ada luar bandar dan di sini pun sama pengundinya. Saya percaya kemenangan akan berpihak kepada kita dan rakyat akan terus memberikan isyarat bahawa mereka akan menolak kerajaan PH hari ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor seterusnya percaya jasa dan bakti Mohamad atau dikenali Tok Mat akan dinilai oleh pengundi dan masyarakat di DUN Rantau.

“Tok Mat dah tiga penggal jadi Menteri Besar dan jasa beliau banyak di sini. Saya berpeluang untuk jumpa masyarakat di Sendayan ini dan rata-rata pengundi memberikan respond yang sangat positif terhadap Tok Mat dan lagi pun Tok Mat anak tempatan, dibesarkan dan bersekolah di sini… ramai kawan-kawanya di sini dan semua kenal beliau sejak kecil lagi.

“Ketika beliau menjadi menteri besar dan ADUN kawasan ini, beliau memberikan perkhidmatan yang terbaik di sini daripada sudut pembangunan Rantau dan sebagainya. Nampak jelas seperti di Sendayan kehidupan penduduk berubah  apabila Felda LBJ bertukar rupa dan ini sebahagian jasa Tok Mat kepada masyarakat Melayu dan pengundi India pun memaklumkan banyak jasa kepada mereka dan begitu juga dengan masyarakat Cina,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut melihat perkara yang sama dan penuh yakin semangat jentera parti cukup tinggi untuk membantu memastikan kemenangan BN pada PRK kali ini.

“Saya melihat Tok Mat selaku calon BN di DUN rantau ini sangat positif dan jentera parti BN yang disokong pula oleh PAS dan rakan-rakan komponen lain sedia untuk bergerak sepanjang kempen 14 hari ini.

“Kita yakin jentera bersiap sedia dan penuh percaya bukan sahaja pengundi Melayu akan memberikan undi malah rakan-rakan daripada masyarakat Cina dan masyarakat India serta seluruh pengundi lain yang ada di rantau ini. Tok Mat dah tiga penggal berkhidmat sebagai ADUN dan MB Negeri Sembilan… banyak jasa beliau kepada Rantau ini,” tambahnya.

“Semangat jentera yang baik dan keduanya nama Tok Mat sebagai calon tidak payah untuk diperkenalkan dan masyarakat dah tahu, jadi ini ‘point’ tambahan kepada BN,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.