MCA Dan MIC Terus Usaha Tarik Pengundi Bantu Kemenangan Tok Mat

REMBAU, 30 Mac –  Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong berkata parti itu bertekad untuk terus berusaha menarik sokongan pengundi masyarakat Cina kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13b April depan.

Menurut beliau biarpun ianya akan berdepan dengan pelbagai cabaran, segala usaha dan gerak kerja akan disusun dalam usaha meyakinkan seramai mungkin pengundi masyarakat berkenaan terhadap BN.

“Kita akan mengembleng seluruh tenaga MCA untuk membantu BN memperoleh kejayaan. Apa yang penting ‘track record’ Tok Mat di kawasan ini yang berjasa dari sudut pembangunan dan infrstruktur begitu baik sekali dan beliau adalah seorang wakil rakyat yang tidak asing, beliau adalah anak watan yang menjadi kawan kepada pengundi di sini.

“Bagi masyarakat Cina pula saya lihat 3,849 undi akan menjadi rebutan kedua-dua parti dan kita akan bertungkus–lumus sedaya upaya untuk membuat penerangan secara kecil-kecilan kerana orang Rantau ini mereka tidak  seperti bandar besar… buat ceramah yang besar-besar tetapi lebih mirip kepada satu perhimpunan mengeratkan silaturrahim sesama kita dan itu yang saya dapat lihat di sini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi ‘personal touch’ sangat penting dan tidak kiralah apa program sekalipun termasuklah jalinan rakyat, perhimpunan kecil-kecilan dan sebagainya, tumpuan kepada kelompok-kelompok ini cukup penting supaya semua pelusuk di DUN Rantau dapat didampingi pengundi yang menjadi sasaran.

“Keduanya saya merasa amat bersyukur kerana lawatan kita sebelum ini mendapati Tok Mat adalah seorang yang memang disukai dan saya rasa ini bukan masalah besar namun kita kena berwaspada kerana berdepan dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah milik Pakatan Harapan. Sudah tentu mereka akan mengembleng seluruh tenaga daripada jentera kerajaan untuk tumpukan gerak kerja di kawasan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan pula berkata keyakinan sokongan masyarakat India terhadap Tok Mat cukup tinggi apatah lagi dengan apa yang telah dilaksanakan sepanjang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan mewakili DUN Rantau, pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh golongan tersebut.

“Keyakinan masyarakat India terhadap Tok Mat saya percaya cukup tinggi dan peranan beliau sebagai wakil rakyat sebelum ini telah terbukti. Inilah satu-satunya kawasan yang ada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang lebih canggih untuk masyarakat India dan kita yakin masyarakat India menghargai peranan beliau dan beliau senang untuk didekati masyarakat di sini.

“Yakin sokongan akan bertambah. Kelebihan yang ada pada Tok Mat tidak dapat disangkal dan calon pihak lawan pula bukanlah anak tempatan dan masyarakat akan memberikan peluang sekali lagi kepada Tok Mat di sini,” katanya.

Katanya lagi daripada sudut jentera parti pula, pihaknya telah lama melaksanakan gerak kerja dalam usaha memberikan yang terbaik untuk BN pada PRK DUN Rantau.

“Kita bersedia sepenuhnya dan faktor calon serta karakter beliau di DUN Rantau telah banyak menyumbang kepada pembangunan di DUN Rantau termasuklah soal pembangunan modal insan itu sendiri.

“Maka membawa beliau sebagai calon bukan begitu susah dan keduanya daripada 5,600 pengundi India, kita telah kenalpasti hampir 60 peratus dan mereka adalah pengundi putih. Kerja-kerja jalinan rakyat telah kita bekerja awal sebelum ini dan kita lipatgandakan lagi untuk membantu kemenangan BN nanti,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.