Undang-undang Rimba Terus Diamalkan… SPR Didesak Ambil Tindakan PH Langgar Peraturan


KUALA LUMPUR, 29 Mac – Undang-undang rimba… itulah yang boleh disifatkan dengan apa yang diamalkan oleh kepimpinan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad berkata, ini terbukti apabila tanpa ‘segan silu’ pemimpin PH terus bertindak sesuka hati dengan melanggar undang-undang termasuklah kesalahan pilihan raya apabila Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Walaupun tempoh berkempen belum bermula tetapi perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan ini boleh dianggap sebagai satu kesalahan dalam pilihan raya. Ini juga boleh diangap rasuah PRK kerana ia berlaku dalam kawasan pilihan raya.

“Sejak PH memerintah negara, ada sahaja kesalahan demi kesalahan yang dilakukan termasuklah semasa musim pilihan raya dan ini jelas dapat dilihat di PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih. Namun sayangnya tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

“Kita sedar PRK DUN Rantau sememangnya satu pilihan raya yang sangat-sangat hendak dimenangi oleh PH kerana ia mampu mencalar kredibiliti UMNO apabila ia ditandingi oleh Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan tetapi ini tidak bermakna mereka boleh menggunakan cara kotor.

“Mereka seharus bertanding dengan cara matang dan jujur… selama ini mereka juga yang mengatakan mereka sentiasa telus dan BN pula kotor, tetapi apa sudah jadi… tidak ada satu pun tindakan mereka yang menggambarkan mereka ini telus dan jujur,” bidas Noraini.

Justeru, Noraini mendesak agar Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas agar PRK Rantau dapat berjalan dengan bersih dan tanpa prejudis.

Untuk rekod, Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menunjukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, bekalan, wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.

Seksyen 8 dan seksyen lain dalam akta sama seperti pengembangan perasaan jahat, permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah dimulakan dengan frasa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tidak boleh dilakukan. – MediaUMNO