Bantu BN Menang Di Rantau Untuk Pastikan Kerajaan PH Negeri Sembilan Pandai ‘Nyanyi Lagu’

 

REMBAU, 29 Mac – “Kita perlu mempunyai satu pasukan parti pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh mengawasi dan boleh memeriksa atau ‘check and balance’ kerajaan sedia ada. Saya sebagai Ketua Pembangkang dalam dewan sebelum ini saya tahu latar belakang negeri ini….”

Demikian penegasan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan berlangsung pada 13 April depan sementara penamaan calon akan berlangsung esok, Sabtu.

“Saya harap orang Rantau termasuklah pengundi-pengundi jangan terpesona dengan lagu-lagu yang mengatakan Tok Mat menang… tidak perlu balik dan tidak perlu keluar mengundi. Lagu berkenaan diadakan supaya dapat mengurangkan jumlah pengundi terutama penyokong BN.

“Saya harap semua orang terutama pengundi luar balik dan bagi sokongan kepada BN kerana kehadiran saya dalam Dewan amat penting untuk kita pastikan kerajaan PH ini tidak sewenang-wenangnya berjanji dan tidak sewenang-wenangnya menyanyikan lagu-lagu yang sebenarnya mereka tidak boleh nyanyi.

“Mereka buat lagu tetapi tidak boleh nyanyi. Dia punya lagu banyak… saya pun nak tengok nanti dalam masa terdekat yang dinyayikan bahawa orang yang tanahnya 99 tahun atau ‘less hold’ semuanya nak bagi ‘free hold’. Saya nak tahu setakat ini apa usaha kerajaan PH Negeri Sembilan yang telah berjanji dahulu, janji manifesto di peringkat negeri. Saya minta supaya rakyat di Seremban jangan lupa. Ini janji mereka dan saya nak tengok sejauh mana… apakah mereka akan tunaikan janji.

“Ini tidak memerlukan kewangan dan jangan beselindung kata negeri nak bankrap. Saya tinggal dulu kewangan yang banyak. Saya akan pastikan sejauh mana janji ini mesti ditunaikan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan ramah mesra bersama media di Command Centre BN.

Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti seterusnya percaya PH akan berusaha untuk memastikan beliau kalah pada PRK DUN Rantau ini.

“Menang atau kalah tidak membawa apa-apa bagi mereka tetapi yang bertanding itu Mohamad Haji Hasan. Pada masa yang sama PH juga mahu memastikan momentum UMNO dan BN perlu disekat. Jadi apa jua cara akan dilakukan untuk mereka pastikan PH menang.

“Sekarang ini pun dah banyak menteri yang datang dan yang tidak ada kena mengena pun datang,” bidasnya.

Tambah Tok Mat lagi tugas yang menanti beliau pada PRK berkenaan adalah satu tugas yang rumit dan tidak semudah tanggapan sesetengah pihak.

“Itu sebab saya katakan saya mempunyai tugas yang rumit… tidak senang sepertimana cakap dia orang… menang Datuk… no… saya perlu meyakinkan orang Rantau betapa perlunya ada pasukan pembangkang kuat di DUN

“Peluang memang ada dan mana-mana pun ada peluang tetapi bagaimana kita melihat peluang itu dan kita menjadikan peluang yang sedikit untuk perbanyakkan. Jadi saya perlu lebih berhati-hati dan lebih bekerja kuat lagi untuk pastikan Rantau ini menyebelahi kepada saya pada 13hb nanti,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti yang membantu termasuklah rakan-rakan komponen BN serta PAS dan parti mesra BN selain NGO. – MediaUMNO