Salahkah Mempertahankan Perkara Yang Sudah Dijamin Dalam Perlembagaan – Reezal


REMBAU, 28 Mac – Mempertahankan sesuatu perkara yang jelas dijamin dalam Perlembagaan Negara adalah bukan suatu yang boleh disifatkan sebagai perkauman, tegas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Isu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW dan kesucian agama Islam amat menyentuh hati majoriti rakyat di negara ini serta tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lambat bertindak mengekangnya amat mengecewakan, jelasnya.

“Umat Islam terasa terancam… hina Nabi SAW, bukan perkara kecil, orang bukan di kalangan Islam juga memahami, sebab yang dihina itu siapa? Dihina itu Nabi Muhammad SAW… kerana Nabi SAW kita dapat kemuliaan, dekatnya dengan kita, keberadaan kita kewujudan kita kerana insan yang bernama Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW. Allah sendiri pun selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

“Dalam keadaan itu, tindakan (kerajaan) yang ambil, mengambil masa yang cukup panjang… sebab itulah berlaku perhimpunan demi perhimpunan, kemudian menteri agama pula kata mereka yang berhimpun atas penghinaan Nabi SAW menggunakan agama sebagai tunggangan… takkan kita tak terhiris jika agama kita dihina,” bidasnya lagi.

Reezal yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian di Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Taman Angsamas di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau serta kepimpinan UMNO Negeri dan tempatan.

Islam katanya juga tidak membenarkan penghinaan agama lain sebagaimana yang ditegaskan dalam Al-Quran.

Rakyat tambahnya lagi mahu kerajaan menunjukkan kesungguhan dengan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka yang menghina agama Islam.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Reezal berkata banyak faktor rakyat perlu memilih Datuk Seri Mohamad Hasan atau yang mesra dipanggil Tok Mat Hasan.

“Sebab apa? Sebab Tok Mat Hasan sekarang ini sedang menerajui parti umat Melayu dan Islam terbesar di Malaysia. Sebab Tok Mat Hasan seorang yang boleh mengetuai dan mengendalikan satu pertemuan dan gagasan antara dua parti orang Melayu Islam iaitu PAS dan UMNO.

“Sebab Mat Hasan boleh mengajak rakan-rakan dari Barisan Nasional daripada MIC, MCA untuk duduk mulakan muafakat baru. Sebab Mat Hasan ada kualiti-kualiti yang dapat memberi keseimbangan dalam parti.

“Maka sebab itu tiada dua, tiada tiga, yang ada pada 13 haribulan (April) nanti hanya satu pilihan… kerana kemenangan ini amat bermakna buat parti dan seluruh negara.. pastikan Rantau ini Datuk Seri Haji Mohamad Hasan menang dengan majoriti yang besar,” ujarnya lagi. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.