PRK Rantau: Hadiahkan Kemenangan Hatrik Buat Tok Mat – Khairy


RANTAU, 28 Mac – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau walaupun berstatus PRK tetapi membawa erti yang sangat besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), ujar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Ini kerana menurutnya, calon PRK DUN Rantau diwakili oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai satu simbol dan lambang kepimpinan parti.

“Apabila calon itu (Mohamad) kita letakkan, itu lambang kepimpinan parti kita, maksudnya maruah UMNO dan BN malah maruah rakyat yang hari ini menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan ditentukan di Rantau ini.

“Tuhan telah takdirkan berlakunya pilihan raya di Rantau. Kebangkitan semula rakyat melalui BN akan kita melihat di Rantau. Kita telah mula melihat bibit-bibit kebangkitan tersebut. Mulanya dengan kemenangan di Tanah Tinggi Cameron Highlands, walaupun di kawasan yang disandang BN tetapi dalam keadaan kita yang telah mengalami kekalahan demi kekalahan selepas pilihan raya umum (PRU) yang lepas ada yang beranggapan mungkin Cameron Highlands juga berisiko tinggi untuk BN.

“Tapi berkat sokongan daripada rakyat Cameron Highlands dan juga penolakan rakyat terhadap PH kita telah menang dan majoriti kita telah bertambah,” katanya lagi.

Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian di Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Taman Angsamas di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dan juga kepimpinan UMNO Negeri dan tempatan.

Jelas Khairy lagi, timbul juga persepsi negatif dari segelintir pihak bahawa BN menang di kawasan kubu kuatnya dan perlu diuji di kawasan yang agak sukar dimenangi serta tidak disandang oleh parti tersebut.

“Tuhan tentukan PRK selepas itu adalah di DUN Semenyih… kita kalah pada pilihan raya umum yang lepas, kawasan bandar yang majoritinya Melayu, kalah dalam lapan ribu majoriti… jadi ada yang kata kalau kita dapat kurangkan majoriti pun, itu adalah tanda yang baik.

“Tetapi kita tidak sangka, penolakan rakyat terhadap PH, keyakinan rakyat bahawa UMNO dan BN disokong daripada rakan-rakan PAS boleh memulihkan sokongan rakyat.

“Kita bukan sekadar berjaya menurunkan sokongan rakyat kepada mereka tetapi kita telah kejutkan senario politik tanah air menang di Semenyih dengan majoriti hampir dua ribu,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Khairy berharap kemenangan ketiga berturut-turut akan tercipta di PRK DUN Rantau nanti.

“Saya mahu kita dapat melakukan dalam istilah bola sepak hatrik iaitu jaringan tiga gol oleh satu pemain dalam satu perlawanan dan biarlah kita melengkapkan hatrik di Rantau.

“Kerana yang akan menjaringkan hatrik ini kebetulannya, pemangku presiden, Tok Mat (Hasan) dia ambil alih di Cameron Highlands dengan gol pertama, ambil alih di Semenyih gol kedua dan di sini, kita lengkapkan hatrik Tok Mat,” ujarnya.

Justeru Khairy menyeru kepada pengundi DUN Rantau supaya memilih Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan pada 13 April nanti sebagai wakil kepada mereka.

“Kenapa hendak pilih orang lain? Rantau ini sinonim dengan Tok Mat… Kalau nak cakap satu persatu jasa Tok Mat kepada Rantau ini, tak cukup masa hendak berceramah…

“Daripada pembangunan fizikal, pendidikan, tempat-tempat ibadat, kawasan-kawasan perumahan baru, PPR (Projek Perumahan Rakyat), PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) dan sebagainya serta pembangunan baru seperti Sendayan. Ini semua ‘air tangan’ atau ‘buah tangan’ Tok Mat kepada penduduk di Rantau ini,” katanya.

Justeru, Khairy berkeyakinan selayaknya DUN Rantau ini terus diberi mandat kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kerana jasa-jasa beliau sebagai ‘Bapa Pembangunan Rantau’, khususnya.

Dalam pada itu, Khairy juga berpandangan penolakan rakyat sekarang terhadap kerajaan PH jelas kelihatan sebagai satu hukuman kepada mereka disebabkan mereka tidak mahu menunaikan janji-janji manifesto PRU-14. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.