Pemuda Lancar Kempen Besar-besaran Jom Daftar Mengundi Dan Jom Jadi Ahli UMNO

 

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini melancarkan kempen Jom Daftar Mengundi dan Jom Jadi Ahli UMNO yang bakal diadakan secara besar-besaran.

Jelas Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, tujuan program ini adalah untuk menarik anak muda menyertai UMNO dan sekaligus menjadi pengundi.

“Kedua-dua kempen ini akan digerakkan seluruh Malaysia dan akan diadakan di setiap program Pemuda pada skala besar bagi memastikan setiap warganegara yang cukup umur akan menjadi pengundi.

“Ini berikutan, kita menerima terlalu banyak permohonan untuk menjadi ahli UMNO, jadi kita giatkan kempen ini supaya ramai tahu bagaimana cara dan kaedah untuk jadi ahli UMNO.

“Dalam masa terdekat ini, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan) akan melancarkan pendaftaran secara online dan Pemuda menggerakkan kempen ini lebih awal untuk pastikan anak muda sertai UMNO khususnya Pergerakan Pemuda,” ujar beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pergerakan tersebut.

Ketika ditanya berkaitan penambahan ahli Pemuda, Asyraf berkata, statistik terbaru selepas pemutihan merekodkan jumlah ahli Pemuda adalah 498,391 ahli.

“Tetapi, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, penambahan keahlian Pemuda amat ketara sekali. Ini mungkin kerana faktor orang marah sangat dengan Pakatan Harapan (PH)… kena kencing kuat sangat kot,” ujar beliau mengusik.

Selain itu, Pemuda turut melancarkan T-shirt ‘Team Tok Mat’ yang bakal digunakan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau nanti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.