Jasa Dan Bakti Jadi Saksi… Antara Program Pemuda UMNO Dan BN Untuk Kempen Tok Mat Di Rantau

 

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menggandakan usaha gerak kerja kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal bermula Sabtu ini.

Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain itu Pemuda UMNO juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC bagi melaksanakan program bersama terutamanya dalam mempromosikan jasa dan sumbangan calon BN yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Ini antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat exco ini. Pemuda juga akan berkampung selama 14 hari di Rantau, kita juga sudah menyiapkan segala program dan gerak kerja kempen yang menyasarkan ‘man to man marking’ iaitu pergi rumah ke rumah dan berjumpa semua anak muda di sana.

“Kita juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan MCA dan MIC untuk program bersama,” ujar beliau selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco pergerakan tersebut di sini, hari ini.

Selain itu jelas beliau, Pemuda juga telah memaklumkan kepada semua jentera agar jangan sama sekali bertindak reaktif kepada sebarang bentuk provokasi yang dijangkakan bakal terjadi seperti apa yang berlaku di PRK Semenyih.

“Kita sudah mengarahkan semua Pemuda jika ada sebarang unsur-unsur seolah-olah kita cepat bertindak kepada provokasi maka kita akan pastikan Pemuda tidak mudah terpengaruh dengan perkara sebegitu,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.