PAC Bermotif Politik, Isu ‘Morally Wrong’ Tidak Berbangkit… Bercanggah Janji Pilihan Raya PH

JOHOR BAHRU, 27 Mac – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melihat pengekalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee membuktikan isu ‘morally wrong’ dalam kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berbangkit.

Sebenarnya kata beliau, kalau Ronald Kiande bermaruah dia sendiri akan meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC kerana dia sudah melompat ke parti ‘Bunga’.

“Kenapa dia mahu kekal sebagai Pengerusi PAC? Mesti ada ‘deal’ baru dengan Tun M. Begitu juga Tun M. Kenapa kekalkan Ronald Kiande walaupun bercanggah dengan janji pilihan raya. Jawapan Tun M membuktikan isu ‘morally wrong’ tidak berbangkit. Dia memang mahu memungkiri janji.

“Pada beliau janji pilihan raya tidak terikat dengan undang-undang. Sebab itu janji boleh dimungkiri. Justeru, Anwar (Ibrahim) akan keempunan untuk jadi PM kerana ia cuma janji untuk jatuhkan Najib dan tidak terikat dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Jelasnya, Tun M tidak gusar pun apabila Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh) meletak jawatan sebagai anggota PAC.

“Ahli Parlimen pembangkang juga telah meletak jawatan. Elok pembangkang tidak menyertai PAC sebagai protes.

“Tetapi apakah muslihat Tun M mengekalkan Ronald Kiande? Apakah Tun M mahu PAC-IMDB 2.0 yang sedang berlangsung sekarang mengikut telunjuk Tun M. Terutamanya dalam kes kononnya laporan akhir Ketua Audit Negara kepada PAC telah dipinda.

Terangnya, Tan Sri Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dengan berani mendedahkan bahawa dakwaan Tan Sri Madinah Mohamad (Ketua Audit Negara) kononnya laporan akhir 1MDB telah dipinda adalah tidak benar kerana yang dipinda itu hanya merupakan ‘deraf awal’.

“Beliau menegaskan tidak ada sesiapa yang mempengaruhinya dan tidak ada pindaan dibuat kepada laporan terakhir yang dihantar kepada PAC pada 4 April 2016.

“Tegas beliau, tidak ada laporan akhir versi lain. Semua di dalam kawalan beliau. Apakah kerana penjelasan Tan Sri Ambrin itu menyebabkan Peguam Negara terpaksa meminda pertuduhan ke atas Najib daripada meminda laporan terakhir Audit Negara untuk PAC kepada meminda deraf awal laporan.

“Bekas Ahli Parlimen Kepong yang juga bekas Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw telah mencabar YB Wong Kah Woh (Dap) supaya membuktikan tuduhan kononnya laporan Audit Negara dalam isu 1MDB (PAC-1MDB 1.0) telah dipinda/diubah atas arahan orang tertentu.”

Justeru katanya, kesimpulan penubuhan PAC 2.0 untuk menyiasat kes 1MDB adalah bermotif politik.

“Mengekalkan Ronald Kiande yang sudah menyertai PPBM juga bermotif politik. Konsep ‘morally wrong’ tidak ada dalam kamus Tun M. Tindakan Nurul Izzah meletak jawatan adalah penyesalan terbuka. Mesej Izzah ialah jangan percaya kepada diktator. Semuanya jadi rosak dan huru-hara. ‘Dinda’ pun patah hati,” katanya lagi juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.