Mengapa Aset Umat Islam Tabung Haji Diselia Bukan Islam? – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pemuda UMNO Malaysia menimbulkan persoalan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) apakah tiada langsung tokoh-tokoh Islam Bumiputera yang berkelayakan menguruskan harta umat Islam Tabung Haji.

Soal Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, apakah jaminan aset-aset bernilai yang selama ini dimililiki oleh umat Islam melalui institusi yang cukup dihormati dunia Tabung Haji (TH) satu persatu tidak dikhianati dan jatuh ke tangan orang lain.

“YB Mujahid juga bertanggungjawab untuk meyakinkan umat Islam bahawa penstrukturan korporat Tabung Haji melalui penjualan aset-aset kepada Syarikat SPV (syarikat tujuan khas) adalah telus dan tiada kompromi terhadap kepentingan umat Islam termasuk aspek pematuhan Syariahnya lantaran terlalu banyak kesangsian dan kerahsiaan dalam transaksinya yang melibatkan aset-aset umat Islam sebelum ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat terkilan dengan jawapan bertulis Kekanda YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Parlimen kelmarin (Rujuk Malaysiakini 27 Mac 2019) yang akhirnya mengakui bahawa aset-aset Tabung Haji bernilai RM19.9 Billion telah dijual dan dipindahkan daripada Tabung Haji kepada sebuah SPV (Urusharta Jamaah Sdn Bhd) yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Prokhas Sdn Bhd yang mana CEO(ketua pegawai eksekutif)nya Chen Yin Heng,” kata Dr Asyraf dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini, di sini.

Menurut Dr Asyraf lagi, daripada awal lagi Pemuda UMNO amat curiga apabila Menteri Agama tersebut yang diharapkan mempertahan institusi Islam mengumumkan untuk memindahkan atau menjual aset-aset TH kepada sebuah SPV yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang Menterinya Lim Guan Eng.

“Sedangkan Tabung Haji boleh sahaja mewujudkan Syarikat SPV yang kekal di bawah seliaannya sebagaimana model-model penerbitan Sukuk yang dilakukan oleh banyak institusi dalam dan luar negara dengan tujuan menstrukturkan kembali kedudukan aset dan liabiliti di dalam Kunci Kira-kira (Balance Sheet) institusi berkenaan,” tambahnya lagi.

Justeru tegas Dr Asyraf, Pemuda UMNO mendesak agar Dr Mujahid mengambil tanggungjawab sepenuhnya selaku menteri yang diamanahkan menjaga kepentingan institusi terulung umat Islam TH dengan memberikan jawapan yang telus dan tuntas atas segala keresahan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam hari ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.