Kritik Kerajaan PH: Tahniah Nurul Izzah Kerana Berani Bersuara – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 27 Mac – “Tahniah Nurul Izzah kerana berani bersuara mengkritik kerajaan. Saya berharap akan ramai lagi pemimpin kerajaan yang berani seperti Nurul Izzah,” ujar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, selama ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mengamalkan ‘blame game’ bagi menutup kelemahan mereka tetapi keberanian Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membuktikan bahawa kepimpinan kerajaan baru ini sememangnya lemah dan lambat dalam bertindak.

“Saya sebenarnya nampak ramai juga pemimpin pembangkang yang berani bersuara seperti Ahli Parlimen Kelana Jaya yang bersuara tentang Pengerusi PAC, begitu juga Ahli Parlimen Segambut. Dalam politik baru ini kita mengalu-alukan pemimpin dari kerajaan untuk mengkritik kerajaan agar mereka menjadi lebih baik,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai Nurul Izzah yang mempertahankan gelaran ‘bekas diktator’ yang digunakan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jelas Ismail Sabri, bukan hanya Nurul Izzah yang menggelar Tun sebegitu.

“Sebelum ini, Mad Sabu, Lim Guan Eng dan ramai lagi juga menggelar Tun sebagai diktator malah bukan itu sahaja, mereka juga memanggil Tun ‘Maha-Firaun’ (ketika Tun masih bersama UMNO).

“Cuma sekarang hanya Nurul Izzah yang berani mengakuinya tetapi yang lain tidak berani untuk bercakap benar,” bidas beliau.

Untuk rekod, Nurul Izzah telah dikritik akibat mempertahankan gelaran tersebut terhadap Tun namun menurutnya, beliau pernah mengeluarkan gelaran itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ucapan di perhimpunan BERSIH, beberapa tahun lalu.

Jumaat lalu, Nurul Izzah dalam wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan Dr. Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan Pengerusi PH itu.

Nurul Izzah turut meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.