Jangan Kata Kecewa, Rakyat Hari Ini Dah Mual Dengan Kerajaan PH


KUALA LUMPUR, 27 Mac – “Jangan katakan kecewa, rakyat sendiri mual dengan segala apa yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hal ini beliau memetik kenyataan dalam sebuah akhbar yang mana Ketua Kerajaan PH sendiri melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran PH, yang didakwanya kurang menunjukkan prestasi. Menurut kenyatan ini lagi, bukan hanya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, malah ramai yang melahirkan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan PH.

“Jawapan balas ini diberi oleh beliau berikutan dengan satu kenyataan awal yang dibuat oleh Nurul Izzah yang tidak berpuas hati dan meluahkan rasa kecewa dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji mereka serta tidak menggerakkan agenda reformasi seperti yang dirancang.

“Hakikatnya kerajaan PH ini dilihat lemah dan bukan sahaja menghadapi pelbagai kritikan serta tekanan atas kegagalan pentadbiran mereka dari pihak pembangkang, tetapi yang lebih memalukan ialah suara protes dan ketidak puas hati dalam kalangan kepimpinan serta penyokong mereka sendiri,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya, apa yang lebih penting kekecewaan ini turut dizahirkan secara jelas oleh seluruh rakyat Malaysia yang sangat marah serta tidak berpuas hati dengan segala penipuan dan alasan dalam menunaikan janji manifesto serta polisi dan tindakan yang gagal diambil secara optimum dalam sesuatu isu.

“Rakyat masih lagi terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, Menteri Kewangan sendiri tidak dapat memberi jaminan harga barangan dapat diturunkan selepas cukai SST menggantikan GST, isu tol, harga petrol, hutang PTPTN, harga sawit dan getah yang tidak menentu, nasib peneroka dan pekebun kecil yang kian tertekan malah kakitangan kerajaan pula sudah mula resah dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat mutakhir ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.