BN Cadang Buat Usul Di Parlimen Berkaitan Isu Statut Rome


KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Barisan Nasional (BN) bercadang untuk mengemukakan usul dalam sidang Dewan Perlimen hari ini berkaitan Statut Rome yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun begitu jelas beliau, penelitian secara terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu dari segi ‘hansard’ Parlimen dan juga Perlembagaan.

“Saya telah difahamkan bahawa menteri memang tidak menjawab secara tepat persoalan yang diajukan antaranya berkaitan prosedur sebelum menandatangani Statut Rome; adakah perlu ia dibawa ke Majlis Raja-raja terlebih dahulu untuk diperkenan atau tidak.

“Kita bercadang untuk membuat usul tetapi kita harus tengok ‘hansard’ dan kalau benar memang tidak ada jawapan tepat dari menteri maka kita akan buat usul untuk kerajaan tarik semula.

“Ini bukan perkara baru kerana banyak negara yang telah tandatangan tarik balik… tapi sebelum buat usul seperti yang saya katakan kita akan kaji secara terperinci dulu sama ada perkara ini memang perlu dibawa kepada Majlis Raja-raja atau tidak kerana perkara ini memberi kesan kepada Raja-raja Melayu seperti apa yang selama ini kita bimbangkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Semalam, kerajaan pimpinan PH telah dibidas kerana menandatangani Statut Rome tanpa mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong. – MediaUMNO