Wakili Orang Awam: Tugas Peguam Negara Dipertikai


KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan melahirkan rasa kesal apabila persoalan beliau berkaitan fungsi dan kuasa Peguam Negara tidak dijawab.

Jelas beliau, ini penting kerana peranan Peguam Negara seakan telah disalahguna.

“Dalam Perlembagaan Perkara 145, fungsi peguam negara adalah menasihati Yang Di Pertuan Agong, jemaah menteri dan menteri-menteri dalam hal berkaitan undang-undang. Selain itu fungi Peguam Negara adalah mewakili kerajaan, badan kerajaan atau jabatan kerajaan di dalam mahkamah apabila sama ada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan menyaman mana-mana pihak atau kerajaan disaman.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini dalam kes terbaru, sekumpulan Orang Asal telah mengambil tindakan menyaman kerajaan Negeri Kelantan. Dalam kes ini, persoalan kami mengapa Peguam Negara mewakili orang biasa… orang awam.

“Soalan saya kepada menteri tidak dijawab seolah-olah secara pukul borong… Perkara 145 Peguam Negara ‘can do anything he like’. Ini adalah satu perkara yang tidak betul,” ujar beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen.

Takiyuddin turut mempersoalkan adakah kerajaan Persekutuan akan turut membenarkan Peguam Negara mewakili Orang Asal Perak yang dikatakan bakal menyaman kerajaan negeri Perak.

Ketika ditanya adakah mungkin Peguam Negara mewakili orang asal atas kapasiti peribadi iaitu sebagai seorang peguam dan bukan sebagai Peguam Negara, Takiyuddin berkata perkara ini tidak boleh berlaku kerana Peguam Negara adalah satu jawatan yang besar. – MediaUMNO