Utamakan Rakyat, PH Usah Malu Teruskan Dasar BN – Suraya


ALOR SETAR, 26 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak perlu malu untuk meneruskan projek-projek yang diluluskan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kerana ia jelas dilaksanakan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaakob.

Katanya, bagi meringankan beban dan mengurangkan rasa kecewa rakyat, dicadangkan kepada Kerajaan PH sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri Kedah agar mengagihkan bantuan sewajarnya kepada para pesawah, petani, penoreh getah dan nelayan.

“Banyak subsidi dan bantuan kerajaan yang telah dikurangkan sedangkan mereka inilah yang paling terjejas pendapatan terutama di musim tengkujuh selain masalah-masalah yang mengancam tanaman.

“Tidak perlulah terlalu berbangga dengan projek berbilion ringgit yang diberikan kepada syarikat-syarikat swasta dari luar sedangkan anak-anak Kedah terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup tanpa sebarang pembelaan, malah lebih menyedihkan apabila tiada sebarang inisiatif signifikan yang boleh dijadikan mekanisme bagi membantu rakyat Kedah mengatasi masalah ini.

“Selamilah kesusahan marhainis rakyat Kedah serata-rata kerana mereka merupakan tanggungjawab utama Kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebooknya.

Katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, mungkin saranan ini agak pahit untuk ditelan pihak tertentu, namun terimalah teguran ini secara positif dan bukan dari kaca mata politik yang tidak berkesudahan.

“Demi rakyat, saya merayu agar pimpinan Kerajaan PH supaya belajar mengutamakan keperluan rakyat Kedah, bukan rakyat Kuala Lumpur, London atau Eropah. Jika ‘terasuk’ Dap atau liberalisme sealiran Siti Kasim sekalipun, jangan sesekali bawa balik ke bumi Jelapang Padi ini,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar yang meneruskan beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) dan penggantian paip, 10 projek sumber dan bekalan air bernilai RM1.7 bilion.

“Keputusan Kerajaan Pusat untuk meneruskan projek-projek yang telah diluluskan Kerajaan BN sebelum ini wajar disambut baik walaupun tertangguh seolah dipandang sepi Kerajaan PH Negeri Kedah.”

Untuk pengetahuan, Dr. Xavier, jelas beliau, kerajaan BN sebelum ini telah meluluskan projek menaik taraf 5 LRA melibatkan LRA Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama, selain memberi tumpuan kepada penyelengaraan, penggantian paip dan pam lama bagi meminimumkan kadar peratusan NRM yang difahamkan sangat tinggi mencecah 46%.

“Projek-projek berkenaan cuma bernilai RM1.2 bilion, namun nampaknya Kerajaan Negeri lebih memberi tumpuan kepada projek mega KXP dan seolah kurang berminat pada projek infrastruktur yang lebih menjadi keperluan kami rakyat Kedah.

“Mungkin Dr. Xavier juga perlu meneliti lebih lanjut mengenai masalah bekalan air yang dihadapi rakyat di Parlimen Langkawi yang diwakili Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan projek ‘Off-River Storage’ yang bernilai RM600 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di pulau permata Kedah itu, namun kini seolah tidak dipedulikan oleh Kerajaan PH dan ini mungkin akan menyebabkan Langkawi bakal berdepan krisis air pada masa akan datang jika dibiarkan.”

Selaras dengan itu, beliau menyeru kepada Kerajaan PH agar lebih prihatin dengan denyut nadi rakyat khususnya di Kedah yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Harga barang, perkhidmatan kian meningkat, harga minyak tidak turun, manakala tol tidak dimansuh sebagaimana yang dijanjikan telah menyebabkan ramai rakyat Kedah kecewa ekoran merasa sengaja ditipu,” katanya lagi yang juga Adun Sungai Tiang – MediaUMNO