Statut Rome – Menteri Dibidas Beri Jawapan Putar-belit


KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican membidas jawapan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkaitan penerangan yang diberi dalam isu Statut Rome.

Jelas beliau, jawapan yang diberi menggambarkan seolah-olah keputusan kerajaan menandatangani perjanjian Statut Rome sememangnya tidak mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

“Sebab itu semua sedia maklum dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh menteri, menteri hanya menyembah maklum.

“Apa yang saya bangkitkan dalam Parlimen adalah berkaitan proses yang diambil sebelum tandatangan itu, adakah ia telah mendapat perkenan Agong atau tidak kerana dalam Perlembagaan seperti artikel 74, artikel 80, artikel 38 dan artikel 39, ini semua memberi penjelasan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja seharusnya dirundingi terlebih dahulu kerana Statut Rome ini antaranya membabitkan hak Yang DiPertuan Agong.

“Bila diulang berkali-kali (dalam Parlimen) ternyata jawapan yang diberi seolah-olah menggambarkan menteri tidak mendapat perkenan Agong terlebih dahulu,”ujar beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan turut berkata, beliau mendengar sendiri titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor yang mengatakan bahawa tindakan kerajaan menandatangani Statut Rome dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan kerajaan menandatanganinya Majlis Raja-Raja tidak dirundingi, kalau dirundingi tentulah Sultan Johor akan membantah kerana Tuanku berada di dalamnya,” ujar beliau.

Sebelum itu, Reezal telah mengajukan soalan dalam Parlimen adakah keputusan kerajaan berkaitan perkara itu mendapat perkenan Agong namun jawapan yang diberikan oleh Saifudin berputar-belit. – MediaUMNO