Isu Pengerusi PAC, Satu Lagi Episod Manifesto Bukan Kitab Suci


KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong tindakan tiga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari blok pembangkang iaitu Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang meletak jawatan sebagai tanda protes dalam jawatankuasa berkenaan sebagaimana yang diumumkan oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tegasnya, tindakan mahu terus mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC adalah satu lagi episod demi episod yang memperlihatkan kegagalan Kerajaan PH dalam menunaikan janji manifesto mereka.

“Kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa PAC akan diketuai oleh wakil rakyat pembangkang hanyalah suatu dasar dan bukan sebahagian daripada perlembagaan adalah satu manifestasi bahawa pelbagai alasan boleh direka untuk menidak dan memungkiri janji manifesto Kerajaan PH,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Bidasnya, walaupun manifesto Pakatan Harapan (PH) jelas mengatakan Pengerusi PAC perlu dilantik daripada kalangan pembangkang, namun alasan terbaru yang mengatakan ia bukan sesuatu yang melibatkan soal perundangan dan harus diberi keutamaan segera adalah koleksi kepada tindakan yang sudah boleh dijangka oleh semua pihak termasuklah rakyat Malaysia.

“Sama sekali tiada apa yang mengejutkan kerana sebelum ini alasan bahawa manifesto bukanlah kitab suci yang wajib dipatuhi diuar-uarkan supaya rakyat menerima alasan Kerajaan PH yang gagal dalam memenuhi janji mereka,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.