Blok Pembangkang Marah Mujahid Ungkap Perkataan ‘Tahi’

 

KUALA LUMPUR 26 Mac – Sidang Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila blok pembangkang mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menarik balik perkataan ‘tahi’.

Mujahid menujukan perkataan tersebut kepada kerajaan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dahulu yang didakwa telah meninggalkan institusi tersebut dengan bebanan kewangan.

Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berhubung pengurusan syarikat tujuan khas (SPV) Tabung Haji, Mujahid mempersoalkan tindakan pembangkang yang sering mengkritiknya apabila membangkitkan soal Tabung Haji.

Mujahid turut mengkritik Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji kerana dikatakan telah gagal menguruskan Tabung Haji dengan baik.

“Baling jangan cakap banyak… nanti semua terkeluar… sekarang ini Kerajaan telah berikan satu tumpuan untuk menyelamatkan Tabung Haji walaupun pembangkang kata kita nak jual, kata Dap pegang Tabung Haji. Baling ini dia tak amanah. Kita nak pulihkan Tabung Haji selepas digagalkan Baling.

“Sepatutnya dia tahu apa yang dia buat. Mereka dakwa macam-macam sedangkan kita nak buat perkara nak selamatkan daripada orang yang buat ‘tahi’ dahulu,” katanya.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut mendesak agar Mujahid menarik kembali perkataan ‘tahi’.

Suasana yang semakin tidak terkawal itu menyebabkan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof meminta Mujahid menarik balik kenyataannya.

Mujahid kemudiannya akur dengan permintaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun menggantikan perkataan ‘tahi’ kepada onar. – MediaUMNO