Annuar Musa Pengarah Operasi PRK DUN Rantau, Tuduhan Keluarga Tok Mat Bolot Jawatan Satu Fitnah


RANTAU, 26 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pelbagai fitnah mula dilontarkan oleh pihak tertentu terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan pelbagai tohmahan.

Menurut beliau fitnah tersebut yang boleh dilihat menerusi media sosial kononnya pelbagai jawatan untuk PRK berkenaan dibolot oleh keluarga Timbalan Presiden UMNO itu adalah jelas satu pembohongan dan merupakan satu perkara yang tidak berasas sama sekali.

“Apabila jadi ketua parti beliau akan digodam…akan difitnah dan akan diburuk-burukkan. Ini baru sahaja jadi calon kita boleh tengok menerusi Facebook…macam-macam fitnah dikatakan kepada Tok Mat. Ini isu terbaru bukan orang UMNO yang buat…saya tahu pihak sana yang buat.

“Ada orang sebar semua jawatan dia…adik beradik dia…anak dia..saya nak bagitau itu adalah jawatan untuk peringkat DUN Rantau dalam kampung beliau. Untuk PRK ini Annuar Musa pengarah operasinya. Penyelaras penaziran baru kita lantik iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi manakala seorang lagi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Manakala yang akan membantu tugas saya Setiasuaha Kerja UMNO, Datuk Sumali. Banyak lagi yang akan bertugas termasuk pengerusi perhubungan UMNO negeri. Saya kena buat penjelasan…

“Saya adalah Pengarah Operasi. PRK ini dikendalikan bersama antara jentera tempatan dan jentera Ibu pejabat UMNO. Sebab apa ada fitnah… kerana mereka mahu lihat Tok Mat kalah di Rantau ini,“ katanya ketika berucap pada Majlis Ramah mesra Bersama Pemimpin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Ekar, di sini Isnin malam.

Annuar Musa seterusnya menegaskan Tok Mat bukan sekadar penting untuk di Rantau malah kepada seluruh rakyat negara ini.

“Sebab itu saya mahu mengajak orang Rantau tidak kira apa parti, apa agama, kaum apa sekalipun menangkan Tok Mat dengan majoriti yang besar. Mari kita berikan satu signal yang jelas.

“Percayalah kalau kita tunjukkan keberanian kita mengalahkan kerajaan yang sedang memerintah itulah ‘wake up call‘ yang terbaik supaya kerajaan menjadi sebuah kerajaan yang lebih bertanggungajwab. Kalau janji tidak ditunaikan biar Rantau mengajar mengajar mereka tunaikan janji dan jangan munafik,“ tambahnya.

Tambahnya lagi Tok Mat mempunya ‘track record‘ yang tersendiri sepanjang beliau menerajui Negeri Sembilan serta berkhidmat di DUN Rantau.

“Saya tengok ‘track record‘ dia…saya tahu dan kami kenal lama. Saya masih ingat dalam satu ‘briefing’ kepada Perdana Menteri bagaimana cara beliau melontarkan cadangan mahu menyelesaikan kuil-kuil Hindu. Tok Mat ada formulanya sendiri dan tidak pernah ada masalah di Negeri Sembilan dan selesaikan masalah dengan baik sekali.

“Semua negeri ada kawasan Felda…Negeri Sembilan ada kawasan Felda akhirnya lihat apa yang sudah terjadi kepada Sendayan…Satu transformasi yang cukup luar biasa daripada kawasan peneroka Felda menjadi kawasan maju seperti mana ada pada hari ini.

“Berapa banyak pertolongan lagi secara kecil dan sebagainya. Itu tidak boleh dinafikan namun orang mahu juga beliau dikalahkan… mahu ajar kita supaya pilih wakil rakyat yang tidak mungkin boleh buat macam Tok Mat…yang budi tidak sebesar Tok Mat…tanggungjawab politik tidak sebesar Tok Mat,” ujarnya. -MediaUMNO