Pantun Noh Omar Buat Kor Ming Pula…

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar kembali ke Dewan Rakyat dengan mengungkapkan serangkap pantun yang mencuit hati namun penuh sindiran.

Noh yang digantung selama tiga hari daripada menghadiri sidangan Dewan Rakyat pada minggu lalu seolah-olah menujukan pantun itu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming itu.

Situasi itu berlaku sebelum Ahli Parlimen Tanjung Karang itu bertanyakan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dari Taiping ke Teluk Intan,
Singgah sebentar di Bukit Rapat,
Saya UMNO, bukan Taliban,
Mohon jawapan soalan nombor empat.

Pantunnya itu mengundang gelak ketawa dalam kalangan ahli-ahli Dewan.

Beliau berpantun demikian dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Minggu lalu, Kor Ming menggantung Noh selama tiga hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas berlaku pertikaian lidah apabila Noh dikatakan menyifatkan Kor Ming tidak layak menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kor Ming kemudiannya memutuskan menggantung Noh kerana didakwa menghina institusi Yang Dipertua Dewan Rakyat. – www.tgkarangxpress.com