Isu Taliban: Bila Kor Ming Nak Sahut Cabaran Noh Omar?

SEMENYIH, 25 Mac – Hari ini genap seminggu cabaran yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk berdebat di luar Parlimen berkaitan kenyataan Kor Ming yang menyamakan kerjasama UMNO dan PAS ibarat Taliban.

Namun setakat ini tiada sebarang jawapan yang diberikan oleh Kor Ming untuk menyahut cabaran tersebut.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, sampai bila Kor Ming mahu ‘kunci mulut’ dan lari daripada onar yang telah dilakukannya sendiri.

“Seharusnya Kor Ming berani kerana benar. Sudahlah dia menyalahguna kuasa sebagai Timbalan Speaker Parlimen apabila menggantung Noh hanya kerana Noh memohon penjelasan adakah benar dia (Kor Ming) ada mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Kalau di Parlimen Kor Ming memberi alasan tidak boleh berdebat kerana memakai jubah maka dia harus menyahut cabaran Noh dan hanya menggunakan ‘title’ sebagai Ahli Parlimen. Janganlah bila sudah lontar batu sembunyi tangan…

“Selama ini Dap selalu mengatakan bahawa mereka mengamalkan ketulusan maka jika benar mereka telus dan jujur, sahutlah cabaran tersebut kerana rakyat mahu tahu kebenaran… rakyat mahu nilai adakah benar Dap ini parti yang membela nasib semua bangsa ataupun Dap ini sememangnya sebuah parti rasis,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Untuk rekod, Noh telah melontarkan cabaran tersebut menerusi slot ‘Dari Parlimen’ yang membicarakan topik ‘Isu Taliban, Dap dan Penggantungan Noh Omar’ di Facebook UMNO, https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia, baru-baru ini.

Sebelum itu, Noh telah melontarkan soalan kepada Nga Kor Ming dalam sesi di Parlimen meminta penjelasan; apakah benar Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu pernah membuat kenyataan mengatakan bahawa gabungan antara UMNO dan PAS akan mewujudkan kerajaan Taliban.

Soalan tersebut telah menimbulkan perdebatan apabila Kor Ming enggan memberikan penjelasan dan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Noh namun keesokannya Kor Ming menggantung Noh dari sidang Parlimen tanpa kehadirannya di dalam Dewan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.