Akta Rasisme Perlu Untuk Bendung Perkara-perkara Dahsyat – Shahidan

 

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyokong akta rasisme yang dicadangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan berkata akta tersebut boleh mengelakkan rusuhan ekoran isu perkauman yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 lalu.

“Ia adalah sesuatu yang harus, kita tengok dan kena buka balik kertas berhubung dengan orang yang (pencetus) maki pada 13 Mei.

“Kita sokong akta rasisme ini kerana yang mencetus perkara-perkara yang dahsyat selama ini mengenai perkauman adalah puak-puak mereka. 13 Mei siapa cetus? Siapa yang bangkit dan maki Melayu balik kampung dan sebagainya?

“Tidak mungkin yang majoriti rasis kepada minoriti tetapi yang selalu rasis adalah minoriti kepada majoriti”, katanya ketika sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi majoriti rakyat dalam negara ini adalah Melayu, dan Melayu tidak perlu menjadi rasis seperti sesetengah pihak.

“Secara termografinya orang Melayu dan Bumiputera mempunyai 69% ke 70%, Cina 22%, India 7%.

“Sebab itu selama ini tidak ada unsur-unsur rasisme di kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.