PRK Semenyih Jadi Bukti Rakyat Tolak PH Yang Hanya Tahu Salahkan Kerajaan Dahulu – Ismail Sabri

 

SEMENYIH, 24 Mac- Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih memberi kesan yang amat besar kepada masyarakat.

Katanya, barisan pembangkang hari ini menjadi platform kepada rakyat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan kemenangan BN di PRK semenyih jadi bukti Pakatan Harapan (PH) perlu ditolak.

“Rakyat hanya mampu menyuarakan isi hati melalui media sosial, perbincangan kedai kopi dan sebagainya namun apabila berlaku PRK Semenyih maka seluruh rakyat mengharapkan ia akan membawa signal keseluruh Malaysia dan akhirnya suara rakyat telah menolak PH pada PRK Semenyih baru-baru ini.

“Rakyat ditekan… kita dengar banyak insentif kena potong seperti BR1M, nelayan, insentif sawah dan penanam sayur ditarik balik serta insentif penoreh getah untuk musim tengkujuh belum mungkin ada, kerana tiada wang … alasannya kita terpaksa berjimat.”

Tegasnya, kerajaan hari ini hanya tahu meletakkan kesemua kesalahan negara dan kegagalan mereka mentadbir kepada kerajaan BN dahulu tetapi tidak ada perancangan atau pengumuman yang mereka buat untuk mensejahterakan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian dalam Majlis meraikan jentera BN dan PAS, di sini, malam tadi.

Berhubung penyatuan ummah, katanya UMNO-PAS melaksanakan gerak kerja secara tersusun yang telah memberi makna cukup besar dalam membentuk perpaduan kepada bangsa Melayu dan Islam.

“Insya-Allah… saya yakin hubungan ini akan tetap berjalan walaupun mereka cuba memecah-belahkan perpaduan yang bertaut namun saya minta agar kita jangan terikut-ikut dan terpengaruh terhadap mereka.

“Kerjasama UMNO-PAS ini mendapat sokongan semua, bukan setakat di Semenyih… tapi kita yakin semangat ini akan bereterusan untuk kita tawan balik Selangor, saya percaya Putrajaya akan kembali kepada kita nanti,” katanya.

Ujarnya, barisan pembangkang akan jadi pembangkang berwibawa untuk membawa isu-isu masyarakat.

“Insya-Allah… kita akan bawa suara rakyat untuk perjuangkan kebajikan dan kesejahteraan semua.

“Saya percaya dengan kerjasama yang ikhlas, Allah akan tetap bersama kita… penyatuan dan perpaduan UMNO-PAS ini terlaksana dengan lancar dari atas hingga ke akar umbi.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.