PH Cuba Sekat Momentum Sokongan Rakyat Kepada BN

REMBAU 23 Mac – Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pakatan Harapan (PH) mahu beliau tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi menyekat momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN itu berkata, selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih, PH tidak mahu BN mendapat kemenangan ketiga berturut-turut dalam PRK Rantau 13 April nanti.

“PRK ini amat penting bukan kerana kerusi Rantau tetapi kerana ‘Mohamad Haji Hasan’ yang bertanding. PH akan berkempen habis-habisan dan menggunakan semua jentera.

“Sebab itu kita lihat tarikh penamaan calon agak lewat (30 Mac), ini bagi menyekat momentum BN selepas kemenangan di Semenyih.

“Sebab itu kita kena pastikan kemenangan, kerana kalau saya kalah UMNO dan BN dalam masalah,” katanya ketika berucap dalam pertemuan dengan jentera MCA bagi PRK DUN Rantau di sini malam tadi.

Yang turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Mohamad yang merupakan Timbalan Presiden UMNO berkata, kemenangan beliau di Rantau juga akan memastikan kehadiran wakil pembangkang yang kuat dalam DUN Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau meminta UMNO, MCA dan MIC supaya terus berusaha membina semula kekuatan BN selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Katanya, kerjasama yang terjalin sepanjang BN mentadbir negara selama ini terbukti berjaya membina sebuah negara yang maju dan harmoni.

“Jangan sebab kalah kita mahu berpisah. Sama-sama kita bina tembok yang selama ini berjaya menahan tsunami. Benteng sudah pecah tapi kita kena ambil semula batu-bata dan simen semula. Kali ini kita simen dengan simen yang kuat dan cepat kering,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.