Isu Ratifikasi ICERD: Pemuda UMNO Gesa PM Pecat Razali Sebagai Pengerusi SUHAKAM


KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pemuda UMNO mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar memecat Tan Sri Razali Ismail sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Menurut Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ini berikutan semalam Razali telah mengeluarkan kenyataan menyesali sikap Kerajaan PH yang tidak mempunyai kesungguhan politik dan komitmen ‘political will and commitment’ untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) selain menegaskan tekad SUHAKAM untuk memperjuangkan ratifikasi ICERD oleh Kerajaan Malaysia.

“Kenyataan Tan Sri Razali ini jelas menunjukkan beliau telah bertindak melanggar Akta SUHAKAM dan bercanggah dengan kewajipannya sebagai anggota Suruhanjaya yang hanya berkuasa dan berkewajipan untuk memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan setakat yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan sahaja.

“Bila Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan telah memutuskan dengan secara rasmi bahawa ratifikasi ICERD adalah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, maka mana-mana Pesuruhjaya SUHAKAM, apatah lagi yang bergelar Pengerusinya, tidaklah boleh lagi memperjuangkan ratifikasi ICERD oleh Kerajaan Malaysia,” tegasnya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelas Dr. Asyraf lagi, SUHAKAM ditubuhkan di atas inisiatif Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri keempat di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang telah diwartakan pada 9 September 1999.

“Seksyen 10 (d) (iii) Akta SUHAKAM memperuntukkan bahawa seseorang anggota Suruhanjaya boleh dipecat daripada jawatan jika Yang di-Pertuan Agong, atas syor Perdana Menteri, berpendapat bahawa seseorang anggota Suruhanjaya itu telah bertindak melanggar Akta ini dan bercanggah dengan kewajipannya sebagai anggota Suruhanjaya.

“Seksyen 4 (1) (c) Akta SUHAKAM memperuntukkan bahawa fungsi Suruhanjaya adalah untuk mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.

“Akta SUHAKAM juga memperuntukkan bahawa ‘hak asasi manusia’ merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Berhubung dengan isu ratifikasi ICERD, Dr. Asyraf berkata Tun Dr Mahathir telah menegaskan pada 18 November 2018 lalu bahawa adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

“Penegasan Tun Dr Mahathir Mohamad ini dipersetujui oleh Kabinet dan diumumkan secara rasmi oleh Pejabat Perdana Menteri pada 23 November 2018 melalui kenyataan yang berbunyi “Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD” dan “Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” katanya lagi.

Justeru, Dr. Asyraf berpendapat memperjuangkan ratifikasi ICERD oleh Kerajaan Malaysia setelah Kerajaan Malaysia memutuskan tidak akan meratifikasinya juga adalah satu perlanggaran tugas yang sangat serius yang menyebabkan Razali perlu segera dipecat daripada jawatan Pesuruhjaya merangkap Pengerusi SUHAKAM.

“Oleh itu, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri perlu segera membuat pengesyoran kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tan Sri Razali Ismail selaku Pesuruhjaya merangkap Pengerusi SUHAKAM selaras dengan peruntukan Seksyen 10 (d) (iii) Akta SUHAKAM,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.