Tunjukkan Solidariti, Tok Mat Hasan Mesti Menang Dengan Mandat Besar Di PRK Rantau – SUA


SEREMBAN, 21 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memilih Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil mereka dengan mandat yang besar.

Ini kerana katanya, Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan merupakan simbol kebangkitan semula parti.

“Tok Mat merupakan calon dan simbol kebangkitan semula… Tok Mat adalah nakhoda sebuah kapal yang baru kita timbulkan.

“Pelayaran masih jauh, Tok Mat ada tugas yang cukup besar selepas ini. Sebab itu adalah kewajipan kita semua bukan sahaja bagi Tok Mat menang, tapi bagi dia menang dengan majoriti dan mandat yang besar,” ujarnya lagi.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian dalam ucapannya di majlis mesra bersama pemimpin di Kampung Sendayan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi dan juga wakil PAS Negeri Sembilan, Bazli.

Seterusnya, Annuar turut menyatakan Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas presiden parti perlu menang besar sebagai satu lagi penghargaan kepada rakan politik baharu UMNO dan Barisan Nasional (BN), iaitu PAS.

“Mengapa saya hendak Tok Mat menang besar? Kerana saya hendak kita hantar mesej kepada sahabat kita dalam PAS, orang PAS sanggup tolong Tok Mat, kenapa tidak boleh orang Rantau memberi undi kepada Tok Mat,” katanya lagi yang telah diberi kepercayaan oleh Mohamad sebagai pengarah operasi pilihan raya kecil (PRK) DUN tersebut.

Di samping itu, jelas Annuar, PRK DUN Rantau itu juga sebagai tanda solidariti Islam dan penyatuan ummah.

“Tunjukkan solidariti Islam, penyatuan ummah yang hendak menunjukkan kita memulakan agenda baru bagi Malaysia yang berbagai kaum dan agama.

“…kita mahu jadi bangsa yang sayang kepada bangsa-bangsa lain, bangsa yang hormat kepada agama-agama lain, bangsa yang yakin kalau kita diberi kuasa kita akan menjaga rakyat berbagai-bagai kaum, agama sepertimana enam puluh tahun kita telah memikul tanggungjawab itu,” tambahnya.

Justeru kata Annuar, dunia menjadi saksi bahawa formula BN selama ini berjaya dalam menjaga serta memelihara negara walaupun mempunyai pelbagai etnik dan agama.

“Dunia menjadi saksi yang formula kita selama ini berjaya, memerdekakan negara, kebebasan beragama, berbagai kaum hidup bersederhana dan sebagainya.

“Setakat ini, formula kita Pakatan Harapan hanya tiru,” tegasnya.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan dibuat selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.