‘GST Refund Dirompak’, Menteri PH Enggan Jawab… Ahmad Maslan Rujuk Speaker Dewan Rakyat

 

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pihaknya akan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berhubung jawapan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pagi tadi.

Menurut beliau, pada sesi soal jawab menteri pagi tadi peraturan mesyuarat 36 (2) dibangkitkan setelah Lim Guan Eng tidak mahu menjawab apabila ditanya berulang kali oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajudin Abdul Rahman.

“Saya telah menimbulkan peraturan mesyuarat 36 (12) yang mana seseorang ahli mengelirukan Dewan dan boleh diambil tindakan iaitu bagaimana YB Bagan tidak mahu menjawab apabila ditanya berulang kali oleh YB Pasir Salak ketika menyoal sama ada 19.4 bilion wang ‘GST refund itu’ ‘dirompak’ oleh Barisan Nasional (BN).

“Beliau tidak mahu mengulangi perkataan ‘rompakan’ itu sedangkan perkataan tersebut digunakan sebelum ini ketika isu wang pulangan GST itu ditimbulkan.
Kemudian saya bangun dan sebut YB Bagan perlu menarik balik tuduhan ‘rompak’ tetapi kelihatan beliau tidak mempedulikan untuk menarik balik tuduhan ‘rompak’ itu.

“Oleh kerana itu saya mohon penjelasan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan beliau meminta saya menulis surat dan saya akan menulis surat untuk menyatakan perkara ini,” katanya kepada UMNO-Online, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan seterusnya menegaskan setakat yang dimaklumkan, pihaknya mendapati tidak ada wang yang ‘dirompak’ dan wang itu dimasukkan di dalam wang yang disatukan kerana tidak lagi menjadi kerajaan dan wang itu tidak sempat untuk dikembalikan.

“Kalau kita masih kerajaan tentulah wang itu dikembalikan setelah audit dibuat terhadap syarikat-syarikat berkaitan. Bukan kita menafikan hak mereka kalau audit mengesahkan bahawa mereka layak untuk menerima balik pulangan GST sekian banyak untuk syarikat berkaitan.

“Pada saya Lim Guan Eng sebenarnya tersepit kerana telah menyebut ia adalah satu ‘rompakan’ walhal sebenarnya wang itu ada dan tidak dirompak, cuma digunakan untuk tujuan yang lain kerana pada ketika itu kita masih ada keyakinan GST akan diteruskan.

“Jadi apabila GST diteruskan tidak adalah kisah ini timbul… tetapi oleh kerana GST dihentikan maka timbullah perkara ini. Jika GST diteruskan maka pulangan wang ‘refund’ GST itu sentiasa dibuat daripada semasa ke semasa. Apa yang berlaku pada saya ialah masalah dari segi peruntukan yang tidak disahkan,” ujarnya.

Terdahulu sebelum itu, isu wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa ‘dirompak’ kerajaan sebelum ini oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggamatkan sesi sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Ia bermula apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Guan Eng berkenaan tuduhan Ahli Parlimen Bagan itu dengan soalan tambahan diberikan.

“Mengikut kajian daripada kita ia tidak dirompak, duit itu tidak dibawa kemana-mana kecuali digunakan oleh kerajaan mungkin untuk tujuan yang lain, mohon Yang Berhormat jelaskan,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.