Shamsul Anuar ‘Panaskan’ PH Dengan Isu Tol, PTPTN Dan Janji Tidak Ditunai


KUALA LUMPUR, 20 Mac – Isu tol, janji kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembelaan kepada rakyat yang memerlukan serta ucapan ‘tahniah’ kepada Dap yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyebabkan suasana Dewan Rakyat petang ini ‘panas’ apabila beberapa ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang saling bertikam lidah.

Menariknya perbahasan Shamsul Anuar yang juga Ketua Penerangan UMNO itu turut menarik minat Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad untuk sama-sama bangun berhujah setelah diberikan laluan oleh Ahli Parlimen Lenggong yang kemudiannya ditegur oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa ianya diluar amalan kebiasaan.

Dalam perbahasan titah diraja itu, Shamsul Anuar memberitahu apa yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini sebenarnya menyambung apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini walaupun pada waktu itu mereka cukup lantang mengkritik dan sebagainya.

“Sewaktu mereka mula mengambil alih mereka memberi harapan yang cukup tinggi kepada rakyat dan rakyat tentunya impikan polisi serta dasar yang lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Malangnya sehingga ke hari ini tidak nampak suatu yang lebih baik daripada apa yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini dalam pelbagai bidang baik ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

“Tidak ada apa… yang mampu diberi hanya harapan… sebab itulah betul sebagaimana yang disebutkan oleh pelbagai pihak bahawa kerajaan hari ini kerajaan yang hanya tukar kulit dan membuat perubahan kecil serta hanya menyambung dasar yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini… yang satu ketika dahulu dikritik hebat oleh pihak pembangkang pada waktu berkenaan

“Waktu PRK DUN Semenyih, apabila dilihat bahawa rakyat sudah beralih arah kepada pembangkang secara tergesa-gesa, Pagoh membuat pengumuman kononnya akan mengumumkan sesuatu yang baik dan berita yang gembira berkaitan dengan tol yang selama ini sememangnya mereka janjikan… rupa-rupanya hanya diberi ‘free’ antara pukul 11 malam hingga 5 pagi. Inilah keadaan dia dan apabila kita kritik bahawa apa polisi itu… mereka pula tanya apa BN buat sepanjang 61 tahun tentang tol.

“Saya nak beritahu kepada Shah Alam… 61 tahun bermula zaman Tunku Abdul Rahman… zaman beliau tidak ada tol… zaman Tun Abdul Razak mana ada tol, selepas Tun Abdul Razak zaman Tun Hussein Onn pun tidak ada tol… zaman ada tol ialah zaman Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad)… zaman Langkawilah yang menyebabkan kita menanggung masalah berkaitan tol. Selepas Langkawi pergi Kepala Batas… Pak Lah yang kemudiannya diambil alih oleh Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak)… zaman Pekan 11 tol dihapuskan… malah kita bina lagi lebuhraya Pan Borneo di Sarawak tanpa ada tol,” katanya.

 

Ucapannya itu menyebabkan beberapa ahli parlimen kerajaan bangun dan suasana bertukar kecoh seketika yang kemudiannya ditenteramkan oleh Speaker.

Shamsul Anuar seterusnya membangkitkan soal pembelaan kepada golongan miskin, termasuklah petani, pesawah, pekebuh kecil, penoreh getah, nelayan dan sebagainya yang mana peruntukan dikurangkan sehingga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri membangkitkan di Dewan Rakyat agar kerajaan memberi perhatian kepada golongan miskin.

“…apa pembelaan yang kerajaan PH buat… peruntukan dikurangkan. YB Port Dickson pun terpaksa merintih di dalam dewan ini minta supaya kerajaan beri perhatian kepada golongan miskin. Itu bukti bahawa kerajaan tidak buat apa-apa.

“Realitinya kerajaan PH tidak membela rakyat kerana golongan yang patut dibela tidak dibela. Saya dengar sebelum pilihan raya akan melakukan perubahan kepada PTPTN… apa perubahan yang dibuat… yang ada menyambung apa yang dibuat sebelum ini. Yang dibuat hanyalah menghapuskan sekatan imigresen… bila nak laksanakan potongan yang bergaji RM4,000?

“Tidak boleh buat. Sebab itu saya lihat kerajaan hari janganlah lagi bermain politik, bekerjalah… mandat sudah dapat bekerja bersungguh-sungguh dan laksanakan. Mengambil intipati titah Yang Di-Pertuan Agong, jadilah kerajaan yang beramanah dan rakyat sedang menilai. Saya rasa inilah kerajaan sepenggal yang ada di dalam negara ini,” tambahnya lagi ketika mengakhiri perbahasan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.