Samakan Kerjasama UMNO-PAS Dengan Taliban… Pemimpin Lidah Bercabang Tak Berani Bercakap Benar


KUALA LUMPUR, 20 Mac – “Saya tidak boleh menghormati seorang pemimpin yang lidah bercabang, yang tidak berani bercakap benar sedangkan soalan saya mudah saja,” tegas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Beliau melontarkan soalan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dalam sesi di Parlimen meminta penjelasan; apakah benar Timbalan Speaker pernah membuat kenyataan mengatakan bahawa gabungan antara UMNO dan PAS akan mewujudkan kerajaan Taliban?

“Apabila kita bangkitkan dalam Parlimen dia menafikan, dia kata ya pun tidak… tidak pun tidak. Kalau betul dia tidak bercakap… nafikan, kalau dia tak nak nafikan… samanlah mana-mana media, dia pun boleh ambil tindakan undang-undang yang buat fitnah kepada dia, itu sahaja jawapan yang saya nak dari beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian malam tadi menerusi slot ‘Dari Parlimen’ yang membicarakan topik ‘Isu Taliban, Dap dan Penggantungan Noh Omar’ di Facebook UMNO, https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

Soalan tersebut dilontarkan berikutan laporan yang mengatakan Nga mendakwa Malaysia akan menjadi Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya UMNO dan PAS membentuk kerajaan.

“Isu kerjasama PAS dan UMNO ini dah jadi macam isu perkauman kerana bukan sahaja Nga Kor Ming malah Lim Guan Eng (Setiausaha Agung Dap) pun kata ia nak isytihar ‘perang’ kepada bukan Melayu namun akhirnya dia tukar kenyataan, tapi Nga Kor Ming ini cuba nak berkeras.”

Tegasnya, perkara ini adalah perkara serius dan kenyataan Guan Eng pun serius.

“Sebelum itu Pasir Salak (Datuk Seri Tajuddin Rahman ) ada juga bertanyakan soalan semacam itu kepada Timbalan Speaker, dalam hansard tertulis dia mencabar Pasir Salak berdebat di luar. Kalau dia ada moral apa salah dia mengaku mengemukakan kenyataan sebagai ahli Parlimen, ya atau tidak dia pernah bercakap… kemudiaan dia nak menafikan.

“Dia tanya baca surat khabar dimana? Saya pun ada bukti… pemimpin Dap sokong perbandingan UMNO dan PAS dengan Taliban, Pengerusi Dap Sarawak pun menyokong kenyataan Nga Kor Ming.

“Pada 9 Mac lalu akhbar Sin Chiew Daily memetik Nga membuat perbandingan PAS dan UMNO dengan Taliban, dalam akhbar yang lain pun ada reaksi dari PAS mengatakan Dap jangan risau kerana Malaysia tidak akan jadi negara Taliban yang merujuk ucapan dari Nga Kor Ming.”

Soalnya, kalau Timbalan Speaker membuat gambaran bahawa penggabungan PAS dan UMNO macam Taliban, apa gambaran dia?

“Gambaran macam mana… seperti satu kerajaan yang zalim, ganas, tidak beri peluang kepada wanita dan berlaku pembunuhan seperti di Afghanistan… ini kerana nak menakut-nakutkan rakyat mungkin yang bukan Melayu,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO