UMNO Sahkan Saman Akan Diteruskan Kepada Pemimpin Lompat Parti


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan bahawa UMNO akan meneruskan tindakan menyaman bekas wakil rakyat yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pengesahan ini dibuat berikutan laporan yang disiarkan oleh portal Malaysiakini semalam yang mengatakan UMNO tidak akan meneruskan saman tersebut.

“Malaysiakini salah lapor. Tidak betul kononnya UMNO tidak teruskan saman kerana kos yang tinggi. Saya telah berjumpa dengan Tok Mat Hasan (Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan), Bendahari UMNO dan juga peguam yang mengendalikan kes dan hari ini saya boleh sahkan bahawa kes akan diteruskan.

“…melibatkan 30 orang yang akan disaman termasuk ADUN dan Ahli Parlimen,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan UMNO tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang keluar parti susulan kekalahann parti dalam PRU ke-14.

Portal itu yang memetik daripada The Malaysian Insight menyatakan, keputusan itu kerana UMNO tidak mahu menanggung kos tinggi untuk meneruskannya, selain fokus kepada pengukuhan parti.

Untuk rekod, UMNO pada November lalu menfailkan saman terhadap bekas wakil rakyat yang melompat parti.

Januari lalu, Annuar Musa mengesahkan saman telah difailkan kepada Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin – kedua-duanya telah menyertai PPBM. – MediaUMNO