Saya Terima Keputusan Yang Dipertua Kerana Saya Ada Dalam Dewan – Noh Omar


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau akur dengan keputusan muktamad Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkaitan penggantungan dirinya selama tiga hari bermula hari ini daripada menghadiri Sidang Dewan Rakyat.

Jelas beliau, petua yang dibuat berdasarkan Peraturan 44 itu dipatuhi kerana beliau berada di dalam Dewan.

“Saya tidak terima keputusan yang dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pada sebelah pagi kerana ketika ‘ruling’ itu dibuat saya tidak berada di dalam Dewan.

“Tetapi keputusan muktamad oleh Mohamad Ariff selaku Yang Dipertua itu saya akur dan terima. Saya hormat keputusan mengikut Perkara 44 itu kerana saya berada dalam Dewan dan dibenarkan membela diri.

“Saya hanya hendak pertikaikan, mengapa semalam sewaktu saya sedang berdepan dengan Kor Ming, dia tidak menggunakan Peraturan 44 (1) ataupun Peraturan 44 (2)… ketika itu dia patut arah saya untuk menarik balik tuduhan, tapi dia tidak buat.

“Bagaimanapun, ingin saya tegaskan saya tidak tarik balik sebarang kenyataan yang saya buat dalam Dewan semalam, itu muktamad,” katanya kepada pemberita di lobi sebentar tadi.

Sebelum itu, selepas penangguhan Dewan untuk makan tengah hari, Mohamad Ariff menyatakan keputusan menggantung Noh daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini adalah muktamad selepas diberi peluang membela diri.

Namun Dewan sekali lagi kecoh sehingga tidak terkawal menyebabkan Mohamad Ariff menangguhkan selama 15 minit. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.