Bukan Baru Dap Prejudis Terhadap Islam – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pelbagai kenyataan oleh pemimpin-pemimpin Dap berkenaan hubungan kerjasama UMNO-PAS yang kemudiannya dikaitkan pula dengan insiden pembunuhan beramai-ramai di Christchurch menunjukkan bahawa persepsi terhadap Islam tidak betul.

Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini menunjukkan persepsi bahawa Islam tidak betul dan ganas sudah ada dalam pemikiran kepimpinan Dap.

“Saya rasa kesal dan kecewa dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Dap. Perkara ini bukan baru. Ini menunjukkan bahawa pemikiran Dap prejudis terhadap Islam memang sudah ada dalam diri mereka dan terserlah walaupun dia nampak kenyataan dari orang Islam tetapi mereka tidak peduli,” katanya.

Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin dan sebelum itu pun sudah ada kenyataan yang provokatif terutamanya Lim Guan Eng yang mengatakan PAS dan UMNO bekerjasama sebagai suatu pengisytiharan perang kepada bukan Melayu dan bukan Islam.

“Kenyataan yang sangat jahat, sangat serius dan sepatutnya pihak berkuasa membuat siasatan seperti saya sebut dalam Parlimen. Adakah provokasi seperti ini… mahukan orang bukan Islam mengistiharkan ‘perang’ kepada orang Islam?

“Apa yang disebut Guan Eng ini tentu saja huru-hara akan berlaku dalam negara… Timbalan Speaker yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan juga menyebut bahawa kerjasama ini kalau membuahkan hasil maka suatu hari nanti kita akan menjadi sebuah negara Taliban yang saya percaya cuba mengaitkan Islam dengan keganasan… tidak terhenti setakat itu ahli Parlimen Dap yang juga pengerusi Dap Sarawak juga setuju kenyataan yang diberikan oleh Nga Kor Ming.”

Beliau berkata demikian dalam sesi bicara bersama Ketua Pembangkang menerusi slot ‘Dari Parlimen’ yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Katanya, kalau Guan Eng rasa bersalah tidak mungkin kenyataan ini disambut Nga Kor Ming dan Pengerusi Dap Sarawak yang maknanya dalam ‘kepala’ mereka Islam ini ganas dan perlu ditentang.

“Saya tak hairan dari kenyataan ADUN tersebut mengaitkan serangan di Christchurch dan kerjasama UMNO-PAS. Sepatutnya Dap mengumumkan simpati mereka terhadap apa yang berlaku kerana bagi saya pengganas tidak tahu warna kulit, pengganas tetap pengganas,” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bera. – MediaUMNO