Terima Kasih MCA Kekal Bersama, Yakin BN Kembali Mantap Untuk Kuasai Kerajaan

 

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada MCA yang memutuskan mahu kekal bersama Barisan Nasional (BN).

Katanya, hubungan dengan MCA bukan baru malah dari sebelum merdeka dan sama-sama berjuang menubuhkan BN serta menuntut kemerdekaan.

“Alhamdulillah, seperti dijangka dan setelah melakukan perbincangan sewaktu mesyuarat Tertinggi BN… setelah dibentangkan usul mesyuarat agung… kita minta MCA bentang semula kepada jawatankuasa tertinggi mereka dan jawatankuasa tertinggi mereka telahpun membuat keputusan bahawa melihat kepada keadaan hari ini, maka keperluan untuk bersama BN masih ada walaupun PAS dan UMNO bekerjasama.

“Mereka yakin bahawa itu (UMNO-PAS) tak menggugat apa-apa malah dianggap sebagai kalau MCA kekal maka ia akan mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam negara kita. MCA memandang itu sebagai satu keperluan untuk mengekalkan keharmonian kaum maka kesatuan dalam BN penting,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Paling penting katanya, adalah untuk bersama-sama dan bekerja.

“Saya yakin kalau kerjasama UMNO-PAS diteruskan dan BN mantap maka insya-Allah BN akan kembali menguasai kerajaan.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bera, prinsip BN apabila sahabat dalam keadaan susah namun tidak akan ditinggalkan.

“Dalam keadaan masyarakat Cina tidak menyokong MCA dengan begitu baik maka kita tidak akan meninggalkan rakan kita…kita mesti bantu rakan kita untuk bangun.

“Saya percaya MCA mempunyai perancangan untuk bangun kembali dan sebagai rakan kompenan kita akan bantu dia.”

Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau telah membentangkan resolusi proses pembubaran BN pada 8 Mac lalu, namun tiada keputusan dicapai maka Jawatankuasa Pusatnya memutuskan kekal dalam BN kerana tidak berlaku kecondongan politik berteraskan perkauman, dengan UMNO, MCA dan MIC perlu mengekalkan semangat konsensus. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.