Padah Terlajak Kata… Wakil Rakyat Dap Tidak Sensitif, Berprasangka Buruk Terhadap Islam


KUALA LUMPUR, 18 Mac – Perumpamaan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’ amat sesuai dengan YB Chew Chong Sin, ADUN Mengkibol yang telah mengeluarkan kenyataan sensitif dan ekstremis apabila mengaitkan peristiwa pembunuhan umat Islam di dua buah masjid di sekitar Christchurch, New Zealand dengan kerjasama UMNO-PAS.

ADUN Panti, Hahasrin Hashim berkata, walaupun Chew telah menarik semula kenyataannya namun ia cukup untuk menggambarkan kepimpinannya dan ideologi Dap yang tidak sensitif serta selalu berprasangka buruk terhadap umat Islam dan orang Melayu.

“Beliau sengaja mencetuskan kebencian dan provokasi kepada kerjasama UMNO-PAS dan menganggap penyatuan atas nama Islam ini adalah ekstremis,” katanya kepada UMNO-Online.

Sehubungan itu, beliau ingin menegaskan kepada Chew dan semua pelampau di negara ini agar tidak terikut-ikut dengan sentimen yang selalu dimainkan oleh Barat atau mana-mana kumpulan anti-agama dan kumpulan anti-Islam.

“Saya juga ingin menegaskan agar parti Dap untuk tidak menangguk di air yang keruh atas peristiwa sedih yang sedang menimpa umat Islam di New Zealand. Sememangnya, ianya juga memberi kesan kepada umat Islam di Malaysia.

“Saya menggesa agar YB Chew Chong Sin memohon maaf kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dan parti Dap pula harus memastikan ianya tidak berulang dalam kita menjaga keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia ini,” katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa khususnya warga Malaysia yang terlibat dengan peristiwa di Christchurh, New Zealand.

“Kami rakyat Malaysia sesungguhnya simpati dan berdoa agar Allah SWT melindungi kita semua.” – MediaUMNO