Kerjasama UMNO-PAS Lebih Jelas, Sudah Ada Struktur Jawatankuasa Induk Bersama

 

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Penubuhan jawatankuasa induk antaraUMNO-PAS menjadikan hubungan yang sebelumnya longgar dan tidak berstruktur dilihat berubah ke arah kerjasama yang lebih jelas, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, jawatankuasa induk telah dibentuk untuk melihat apa perkara-perkara yang boleh dilakukan secara bersama kerana sebelum ini ia hanya menjurus kerjasama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), kerjasama dalam Parlimen iaitu dari segi bawa usul secara bersama dan sebagainya.

“Hubungan kita longgar dan tiada struktur sebelum ini tetapi sekarang sudah berstruktur apabila kita menubuhkan jawatankuasa induk secara bersama.

“Tetapi kita belum ada perincian apa kerjasama lagi untuk masa depan yang boleh kita lakukan bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, sehingga kini belum ada apa-apa hal terperinci dari segi apa kerjasama yang bakal dilakukan.

“Saya dah terangkan dulu kita dah tubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Naib Presiden UMNO dan Naib Presiden PAS, untuk melihat secara detail… soal negeri, kerjasama, soal nak mewujudkan kerajaan campuran itu adalah satu perkara yang belum ditentukan.

“Soal untuk mewujudkan kerajaan campuran adalah perkara yang belum ditentukan, jawatankuasa kerja inilah yang akan melihat secara terperinci kalau ada keperluan untuk kerajaan campuran dan sebagainya.

“Jadi mereka perlu bentang kepada jawatankuasa induk dan jawatankuasa induklah yang akan melihat dan akhirnya membuat keputusan. Bila ada keputusan, Majlis Tertinggi UMNO akan bincang begitu juga diperingkat tertinggi PAS, jadi memang terlalu awal.”

Katanya, cadangan supaya kerjasama parti dipererat dengan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan PAS, perlu diteliti dengan lebih terperinci.

“Tidak ada lagi apa-apa, masih terlalu awal dan semua pihak bebas untuk mengeluarkan apa-apa pandangan tapi pandangan yang baik untuk kepentingan UMNO dan PAS akan diteliti,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.