Gelombang Merah Hijau Bakal Warnai Rantau, Bawa Momentum Kemenangan BN


KUALA LUMPUR- 18 Mac – Gelombang merah-hijau bakal mewarnai Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang akan menghadapi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memastikan momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) berterusan.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nooraieni Mohd Ali berkata, rentak dan semangat untuk bangkit meneruskan perjuangan akan terus dibawa ke DUN Rantau.

“Kita tidak mahu kembali menoleh kebelakang untuk menyesali apa yang telah rakyat putuskan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana kita mahukan kemenangan terus berpihak kepada BN,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, usaha berganda akan terus dilaksanakan Wanita UMNO bersama Muslimat PAS dalam meyakinkan pengundi tanpa perlu menuding ‘dosa’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan manifesto PRU14.

“Kita perlu pastikan kemenangan DUN Rantau ini masih milik BN sekaligus isyarat agenda penyatuan ummah akan terus dilaksanakan bersama UMNO dan PAS.”
Nooraeini menjelaskan atas keyakinan ini disertakan dengan gerak kerja untuk terus membantu rakyat sebagai modal yang akan diketengahkan walaupun sedar kerajaan Negeri tidak akan beralih tampuk pemerintahan biarpun jika BN menang kelak.

“Kita perlu ada barisan pembangkang yang kuat dan mantap bagi memastikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat malah kemenangan Tok Mat Hasan (Mohamad Hasan) dalam PRK Dun Rantau nanti akan menjadi ‘sinar’ untuk rakyat dalam semak dan imbang pada kerajaan hari ini.”

Pastinya kempen secara sihat akan diterjemahkan Wanita UMNO yang akan bergerak bersama Wanita PAS sekaligus menangkis dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjangkakan isu perkauman bakal menjadi topik dalam berkempen, jelas Pengerusi Biro Skuad Sayang dan Kebajikan Wanita UMNO itu.

Pada PRU14 Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas pencabarnya Dr S Streram daripada PH gagal masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kemudian, Dr Streram memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRU14 di Mahkamah Tinggi Seremban dan pada 16 September lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

SPR kemudiannya menetapkan PRK DUN Rantau pada 13 April, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 30 Mac dan tarikh mengundi awal pada 9 April. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.