Ketidakcekapan MB Jadikan Insiden Sisa Toksik Melarat…

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khaidirah Abu Zahar melahirkan rasa resah dan bimbang berikutan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang masih berlarutan lantaran ketidakcekapan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dengan perasan tanpa belas ihsan, menganggap bahawa kemalangan ini bukannya sebuah darurat kerana tidak berlaku kehilangan nyawa.

Soal beliau, adakah nyawa rakyat menjadi taruhan sebelum darurat boleh diiystihar?

“Ralat bagi saya dalam insiden malang ini apabila Parlimen yang bersidang pada 14 Mac 2019 tidak bersetuju untuk mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan walhal sehingga 12 pagi 14 Mac 2019, sebanyak 3,555 kes telah dilaporkan dan memaksa kawasan-kawasan sekolah dikosongkan atas nasihat pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berasa kesal dengan ucapan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri dengan alasan akan berlakunya serangan panik jika pengistiharan darurat diumumkan.

“Walhal, menurut YB Pontian, pengisytiharan darurat berkaitan bencana seperti ini pernah diumumkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hanya perlu mengikuti SoP Darurat Bencana.

“Sebenarnya saya menghargai tindakan yang dibuat oleh YB Pasir Gudang dengan menggesa Parlimen untuk mengistiharkan darurat. Namun, ada perkara lain yang perlu dilakukan oleh YB Pasir Gudang dengan lebih agresif selain lantang di Parlimen sahaja.

“Bahkan YB Pasir Gudang sewajarnya menggesa Kerajaan Negeri untuk bertindak segera bermulanya pencemaran yang berlaku pada 7 Mac tersebut.”

Malangnya katanya, hampir seminggu insiden tersebut berlaku, barulah tindakan diambil.

“Melengah-lengahkan kerja pembersihan disebabkan alasan kos perlu ditanggung tinggi adalah sikap kerajaan yang tidak memikirkan kepentingan rakyat sebagai kepentingan utama.

“Saya amat kesal terhadap YB Menteri Pendidikan yang tidak cakna dengan isu tersebut sehingga tergesa-gesa meminta sekolah dibuka beroperasi pada awal insiden sehingga menyebabkan bilangan mangsa semakin meningkat.”

Namun begitu, beliau melahirkan rasa syukur apabila pasukan Tentera Darat Malaysia telah turun membantu.

“Saya juga berterima kasih kepada anggota keselamatan dari tentera dan polis, berserta petugas awam dari Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi lain yang turut serta membantu bagi membersihkan pencemaran sungai ini.

“Saya sangat berbangga dengan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan negeri yang sanggup berganding bahu dan menyumbangkan bantuan menerusi Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turun ke kawasan tersebut dan menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga mangsa.

“Saya turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada keseluruhan keluarga mangsa dan menuntut agar penyiasatan tidak ditangguhkan dan pihak kerajaan tidak melindungi dalang yang menjadi punca tragedi ini,” katanya lagi – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.