Serangan Di Christchurch Tidak Bertamadun, Jangan Ada Kenyataan Tak Bertanggungjawab – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap serangan ke atas dua masjid di New Zealand adalah sesuatu yang kejam dan tidak bertamadun.

Katanya, ia adalah serangan teroris yang perlu dikutuk serta dikecam dengan sekeras-kerasnya oleh seluruh masyarakat dunia tanpa mengira agama dan kaum.

“Takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat. Dalam masa yang sama jangan ada pihak yang membuat sebarang kenyataan tidak bertanggungjawab sehingga boleh menimbulkan kemarahan ketika umat Islam sedang berduka di atas apa yang berlaku.

“Saya merujuk kenyataan biadap mereka yang berada di luar mahupun dalam negara berkaitan dengan isu serangan ini.

“Saya juga yakin dan percaya Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas PDRM akan terus memantau dan sentiasa dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi serta cukup berpengalaman bagi memastikan peristiwa seperti ini agar tidak berlaku di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, di sini, hari ini.

Jelasnya, semasa beliau sebagai Menteri Dalam Negeri umum sedia maklum bahawa rekod cemerlang PDRM E8 dalam mengekang keganasan dan menjalankan program deradikalisasi mendapat pengiktirafan dunia. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.