Kenyataan Adun Mengkibol Tunjuk Sikap Rasis Dap, Pemikiran Ekstrim Dan Jumud

JOHOR BAHRU, 16 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday membidas sekeras-kerasnya kenyataan Adun Mengkibol, YB Chew Chong Sin yang mengaitkan kes pembunuhan di dua buah mesjid, di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan PAS di Malaysia.

Semalam Chew dalam kenyataan yang disiarkan Malaysiakin berpendapat seolah-olah kerjasama UMNO dan PAS akan menjurus kepada naratif perkauman Melayu serta ekstremis agama Islam di Malaysia.

“Ternyata pendapat ini menyerlahkan lagi pemikiran ekstrem pemimpin Dap yang jumud dan tidak meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang majmuk sepertimana yang kononnya menjadi hala tuju Malaysia Baru.

“Hakikatnya kerjasama yang sedang dirintis oleh UMNO dan PAS adalah berkaitan penyatuan ummah (Melayu dan Islam) yang sedang berpecah-belah demi memelihara kedudukan agama Islam serta bangsa Melayu.

“Saya percaya orang bukan Melayu juga mengakui akan perpecahan orang Melayu Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, kerjasama UMNO dan PAS bukanlah semata-mata hanya dalam politik untuk memenangi pilihan raya, apatahlagi menubuhkan kerajaan ala-Taliban.

“Kerjasama ini adalah untuk merapatkan semula jurang yang telah memisahkan sesama bangsa dan membina semula sillaturrahim yang dituntut oleh agama (Islam) dan penyatuan ummah ini tidak sesekali ingin menindas kaum dan agama lain.

“Agama Islam sentiasa mengajar umatnya tentang kedamaian. Orang Melayu pula sejarahnya sentiasa bertoleransi dan meraikan kaum lain. Sejarah negara ini juga menunjukkan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO dan PAS (Kelantan dan Terengganu) bersikap sederhana dan tidak pernah mengetepikan kaum lain.

“Para pemimpin UMNO dan PAS juga meraikan perayaan kaum lain (yang bukan ritual ibadat) seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain.”

Tegasnya, orang bukan Melayu juga pun sentiasa menyeru perpaduan di kalangan kaumnya dan ia tidak salah, asalkan untuk menyemai rasa tanggungjawab bersama menjaga keharmonian negara.

“Oleh hal yang demikian, saya nasihatkan YB ADUN Mengkibol ini supaya buatlah kerja dan tunaikan janji-janji yang diucapkan semasa kempen pilihan raya yang lalu dengan salah satu janji adalah nak sediakan ratusan peluang pekerjaan supaya anak-anak Kluang tak perlu merantau jauh, namun apa yang terjadi sebaliknya, ramai yang hilang pekerjaan seperti yang berlaku di kilang jubin beberapa bulan dulu.

“Saya juga mencabar ADUN Mengkibol (sebagai wakil rakyat kerajaan) merealisasikan sambungan jalan lingkaran dalam (dari Taman Kluang Barat – Taman Titiwangsa) diteruskan ke Jalan Kota.

“Adun Mengkibol yang dahulu sering memberi alasan ‘wakil rakyat pembangkang’. Hari ini anda semua adalah kerajaan, realisasikan harapan rakyat, tunaikan janji yang diucap.

“Janganlah menambahkan lagi kecelaruan fikiran jumud dan menimbulkan kekeliruan rakyat. Jagalah kawasan, bukan bercakap sembarangan…!” tegasnya yang juga Pengerusi BN Kluang. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.