Kaitkan Insiden Christchurch Dengan UMNO-PAS, Pemimpin Dap Makin Melampau dan Kurang Ajar

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan pimpinan Dap makin kurang ajar dan melampau apabila mengaitkan insiden Christchurch dengan UMNO-PAS.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata selepas Lim Guan Eng dan Nga Kor Ming membuat kenyataan rasis dan cauvinis, kali ini giliran YB Chew Chong Sin pula mengeluarkan kenyataan biadab dengan mengaitkan insiden pembunuhan beramai-ramai umat Islam di dua Masjid di Christchurch New Zealand dengan permuafakatan UMNO-PAS.

“Sedikitpun tidak sensitif dengan perasaan umat Islam yang sedang bersedih dan berdukacita dengan kematian saudara-saudara se-Islam di New Zealand.

“Bukannya mahu bersimpati tetapi cuba memberi amaran seolah-olah insiden sama akan berulang di Malaysia jika permuafakatan UMNO dan PAS menjadi kenyataan dan didakwanya permufakatan ini hanya untuk memainkan sentimen agama dan bangsa,” bidas beliau dalam satu kenyataan.

Soalnya, apakah asas kenyataannya ini?

“Apakah selama 61 tahun UMNO mentadbir Malaysia, kaum dan agama lain dizalimi dan ditindas? Apakah kerajaan Pas yang memerintah hampir 30 tahun di Kelantan juga pernah menindas bukan Islam?

“Nampaknya semakin hari semakin terserlah nilai pelampauan dan perkauman yang hakikatnya menjadi orientasi perjuangan Dap selama ini.

“Seharusnya rakyat berbilang agama dan bangsa wajar menolak parti rasis dan cauvinis Da yang boleh menjadi punca persengketaan dan perselisihan agama dan kaum di negara ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.