Tindakan Kerajaan PH Dibidas… Usul Tergempar Di Parlimen Tapi Tidak Isytihar ‘Darurat Bencana’

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri amat kecewa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengisytiharkan ‘Darurat Bencana’ di Pasir Gudang dan Tebrau walaupun usul tergempar telah dibawa oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang dan disokong sepenuhnya oleh barisan pembangkang Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Katanya, beliau juga amat kesal dengan tindakan sambil lewa Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu ini yang terbukti tiada tindakan pembersihan sungai dilakukan, seperti yang didedahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Lebih mengecewakan apabila alasan kerajaan Negeri Johor tidak melakukan pembersihan kerana kos pembersihan terlalu tinggi. Seolah-olah menunjukkan nyawa rakyat tidak berharga kepada Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau percaya ada kesan jangka pendek serta jangka panjang ekoran tragedi toksik ini.

“UMNO telah menyediakan satu pasukan khas peguam yang diketuai oleh Adzly Ab. Manas untuk khidmat guaman secara percuma kepada semua pihak yang menanggung kesan daripada tragedi ini termasuk tuntutan ganti rugi terhadap mana-mana pemilik kilang yang terlibat.

“Pasukan peguam ini akan turun segera ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan mangsa,” katanya yang juga Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Dalam masa yang sama, beliau berharap tindakan membuang toksik ke sungai ini jika dianggap sebagai tindakan jenayah, maka mendesak supaya pihak berkuasa bertindak segera, menghadapkan mereka ke muka pengadilan tanpa berdolak dalik lagi.

“Saya melahirkan perasaan sedih dengan tragedi toksik yang sedang berlaku di Pasir Gudang ketika ini.

“Saya berharap dan berdoa agar semua mangsa-mangsa yang dirawat segera sembuh dan penduduk di kawasan tragedi dilindungi Allah SWT dan dalam masa yang sama semua rakyat Negeri Johor terutamanya di Pasir Gudang dan Tebrau mengikuti arahan pakar-pakar kesihatan bagi mengelak kesan toksik ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang susulan pencemaran bahan kimia dan kerajaan tiada rancangan untuk memindahkan penduduk kawasan itu biarpun jumlah yang dirawat bertambah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.