Tindakan ADUN Dap Kaitkan Pembunuhan Di New Zealand Dengan Kerjasama UMNO-PAS Keterlaluan

KUALA LUMPUR, 15  Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin, yang cuba mengaitkan pembunuhan lebih 40 orang umat Islam di New Zealand kepada implikasi yang boleh berlaku di negara ini jika kerjasama PAS-UMNO diteruskan, adalah kenyataan bersifat hasutan dan keterlaluan.

Tegasnya kenyataan itu seolah olah mengajak masyarakat bukan Islam di negara ini supaya melihat PAS dan UMNO sebagai musuh atau “entiti yang mereka harus berjaga-jaga”, sedangkan tidak ada seorang pun rakyat bukan Islam yang menderita sejak negara merdeka di bawah kerajaan Barisan Nasional atau di negeri yang ditadbir PAS.

Malah tambah beliau telah ditegaskan bahawa kerjasama UMNO PAS tidak sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Kenyataan itu jelas menunjukkan watak sebenar DAP yang sering memainkan sentimen rasis dan agama, walaupun banyak kali kepimpinan mereka cuba menafikannya.

“Kita meminta Chew menarik balik kenyataan itu. Sepatutnya kita di seluruh dunia tanpa mengira apa latarbelakang mestilah bersimpati dengan kejadian 49 orang individu yang terbunuh di Christchurch itu, dan bukannya mempolitikkan tragedi itu” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Adalah sangat jelas kata beliau kejadian di New Zealand itu adalah kes jenayah yang tiada kena mengena dengan mana mana parti politik di dunia, tetapi malangnya Chew cuba menjadikannya elemen bagi meniupkan api pergaduhan kaum di negara ini.

“Tindakan Chew sangat tidak bertanggungjawab.

“Adalah sangat tidak waras untuk mengaitkan kerjasama PAS dan UMNO kepada pembunuhan umat Islam di New Zealand kerana budaya, iklim politik dan cara hidup di sana adalah tidak sama dengan masyarakat di Malaysia. Lagi pun, pembunuhnya ialah rakyat negara lain dan pembunuh itu pun bukannya ahli parti PAS atau UMNO !”, tegasnya.

Justeru beliau menasihatkan ADUN Mengkibol supaya lebih berhati hati dalam membuat kenyataan dan bukannya bertindak emosional secara sembrono yang boleh mengeruhkan keharmonian kaum dalam negara ini.

“Sepatutnya seluruh rakyat Malaysia berdukacita dengan kejadian yang berlaku, bukannya mengambil kesempatan bagi mengapi-apikan pergaduhan kaum.

“Tindakan individu seperti Chew inilah yang boleh mendatangkan imej buruk kepada nama Malaysia di dunia antarabangs”, ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.