Alhamdulillah… UMNO Sabah Makin Kukuh, Kehadiran PPBM Proses Demokrasi – Bung Mokhtar


KUALA LUMPUR, 15 Mac – Alhamdulillah… UMNO Sabah makin stabil dan pimpinan di peringkat bahagian pun mula turun ke akar umbi melaksanakan gerak kerja parti dan maklum balas yang diterima di peringkat bawah amat baik sekali.

Begitulah ungkapan awal Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin ketika ditanya mengenai perkembangan UMNO negeri itu yang sebelum ini berlakunya penghijrahan beberapa pimpinan dan ahli parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO.

Tanpa berselindung beliau menjelaskan pada waktu tersebut, UMNO Sabah sememangnya tertekan namun usaha daripada pelbagai pihak dan selepas pengurusan baru mengambil alih, UMNO Sabah mula mengorak langkah ke depan.

“Sejak penghijrahan beramai-ramai keluarnya daripada UMNO beberapa pimpinan peringkat bahagian sebelum ini, pada ketika itu UMNO Sabah dalam keadaan tertekan. Namun selepas pengambilalihan UMNO Sabah… Alhamdulillah UMNO Sabah hampir telah pulih seperti sediakala dan kita telah berfungsi dengan pimpinan turun ke kawasan masing-masing dan maklum balas daripada bawah memang baik.

“Yang keluar ini kebanyakannya pemimpin tertinggi dan akar umbi rata-rata masih bersama dengan UMNO. Saya mempunyai harapan dengan kekuatan sedia ada dan dengan pimpinan muda yang menggalas amanah dan tanggungjawab itu saya lihat UMNO Sabah akan bangkit daripada kekalahan lalu,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau pada yang sama menegaskan UMNO Sabah sedang giat memperkukuhkan parti serta kerjasama dengan semua pihak berasaskan landskap politik tanah air untuk kepentingan dan kebaikan semua terutama Sabah itu sendiri.

“Kita hari ini sedang memperkukuhkan parti dan keduanya kita akan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Gabungan Parti Bersatu Sabah (GBS) dan juga mana-mana parti lain. Kita melihat perkembangan politik tanah air pada hari ini… berbagai kemungkinan akan berlaku dan ini membolehkan kita untuk akses atau membentuk laluan bersama-sama dengan pihak lain untuk menentukan landskap politik Sabah yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Menyentuh soal kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke negeri itu sepertimana yang diwar-warkan oleh pelbagai pihak, Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempunyai jawapannya yang tersendiri.

“Dalam demokrasi mana-mana parti boleh menempatkan diri mereka. Tidak jejaskan UMNO walaupun usaha mereka untuk menarik lebih ramai ahli-ahli UMNO untuk menyertai parti mereka… ianya tidak akan beri impak yang besar sehingga UMNO Sabah tidak mampu melaksanakan tugas di akar umbi,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.