Pencemaran Toksik: MB Johor Gagal!

JOHOR BAHRU 14 Mac – Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya menyalahkan pembangkang dalam isu pencemaran toksik Sungai Kim Kim kerana mereka bersuara demi kesihatan dan keselamatan rakyat terutama di Pasir Gudang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka bukan mahu berpolitik atau mahu mempolitikkan isu berkenaan tetapi kesal dengan sikap angkuh dan penafian diri Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Mohamed Khaled turut menyelar kerajaan negeri dan Osman yang menyifatkan kejadian itu tidak serius, malah peruntukan juga lambat disalurkan hanya kerana memikirkan kos penyelenggaraan.

“Kenapa kerajaan negeri menyatakan perkara ini tidak serius sedangkan setiap hari ada peningkatan jumlah mangsa yang terlibat di sehingga Pasir Gudang?

“MB jangan angkuh dan menyalahkan pembangkang atas isu ini kerana ia melibatkan keselamatan penduduk di Pasir Gudang dan janganlah mempertaruhkan nyawa dan kesihatan mereka,” katanya di sini sebentar tadi.

Bekas Menteri Besar itu menegaskan, beliau tidak mempersoalkan kejadian itu, namun, apa yang dipersoalkan adalah bagaimana kerajaan negeri menangani masalah tersebut dengan efisien dan mengapa mengambil masa yang lama.

Selain itu, tambahnya, tidak ada satu pun cara berkala yang dilakukan, malah tiada juga pengumuman dari semasa ke semasa sedangkan rakyat kini berada dalam keadaan tidak tenteram lebih lagi kerja pembersihan sungai tidak dilakukan dengan segera.

Justeru, katanya, kerajaan negeri digesa untuk menangani masalah tersebut dengan melakukan permbersihan sungai dengan segera selain perlunya ada penilaian menyeluruh sebelum sebarang tindakan diambil.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak mengambil kesempatan untuk bermain politik dalam isu ini kerana ia melibatkan kesihatan dan keselamatan selain bencana seperti di Pasir Gudang boleh berlaku di tempat lain juga.

“Apa-apa pun you have failed, Osman. Belajarlah daripada pengalaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.