Pencemaran Toksik Di Pasir Gudang : Pengurusan Bencana Negara Dipersoal


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melahirkan rasa kesal dengan kelewatan pihak berkuasa bertindak menangani tragedi pencemaran toksik di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang di Johor.

Serentak itu, beliau mempersoalkan pengurusan bencana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Negeri Johor yang seakan-akan gagal menangani isu terbabit.

“Kita kesal Kerajaan negeri seakan-akan gagal menangganinya dan mengkategorikannya sebagai ‘amat berbahaya’ selepas dimaklumkan mengenainya.

“Hanya selepas ramai pelajar sekolah di kawasan terbabit dibawa ke hospital dalam keadaan serius, baharulah kerajaan negeri bertindak”, katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Jelas beliau pencemaran yang makin kritikal ini memaksa penutupan 34 buah sekolah, resort dan penempatan sekitar.

Ini tambahnya lagi termasuk 13 sekolah yang ditutup semalam.

“Ini membabitkan ribuan pelajar yang mula menduduki peperiksaan penggal pertama sejak kelmarin.

“Apakah langkah lanjut Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri dalam menangani tragedi ini? Rakyat mahu tahu kerana mereka resah gelisah seolah-olah tiada jalan penyelesaian,” ujarnya.

Beliau seterusnya menegaskan pihaknya ingin melihat kesihatan pelajar dan penduduk terbabit diberi keutamaan dan khidmat semua pakar yang ada digembleng sepenuhnya.

Tragedi ini tambahnya adalah pengajaran kepada semua pihak mengenai pentingnya ‘crisis management team’ diwujudkan dan diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan.

“Apa yang dikesalkan ialah ketidakpedulian awal apabila krisis ini berlaku, seolah-olah ia boleh pulih sepenuhnya dalam masa yang singkat.

“Langkah membuka semula beberapa sekolah yang diarah tutup rupa-rupanya mengundang bencana yang lebih dahsyat”, katanya.

Tragedi ini tegas beliau bukan saja mengancam nyawa manusia malah mencemari alam sekitar.

“Janganlah bertindak apabila berlaku kematian dan kadar kemusnahan besar dalam sesuatu malapetaka,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.